M40 dapat PTPTN penuh

M40 dapat PTPTN penuh, juga dapat pinjaman komputer riba

ISMAIL Sabri Yaakob menghadiri Perhimpunan Semangat Patriotik Pelajar IPT di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia Sungai Besi, Kuala Lumpur, semalam. - IHSAN PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Golongan mahasiswa daripada kumpulan M40 (M1) boleh menarik nafas lega berikutan keputusan kerajaan menaikkan kadar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) daripada 75 peratus kepada 100 peratus.

Selain itu, mahasiswa daripada kumpulan M40 juga layak menerima pinjaman komputer riba sebagai antara usaha kerajaan menjaga kepentingan mahasiswa.

Berita gembira itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika merasmikan majlis Semarak Pat­riotik Institusi Pengajian Ting­gi 2022 di sini, semalam.

“Kalau dulu pinjaman kepada M40 adalah hanya 75 pera­tus sahaja. Saya mengumumkan di sini bahawa untuk pinjaman pada mahasiswa M40, kita akan naikkan kepada 100 peratus.

“Seterusnya adalah laptop (komputer riba). Kerajaan bersetuju menyediakan kemudahan pinjaman laptop kepada peminjam PTPTN bagi golongan M40.

“Mahasiswa percayalah, ba­nyak lagi yang akan diumumkan demi kepentingan mahasiswa dan mahasiswi sekalian,” kata beliau.

Langkah kerajaan itu dijangka memberi manfaat kepada 64,301 pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) kategori M40(M1) dan melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM183.5 juta setahun.

Kategori M40(M1) adalah mereka yang memperolehi pendapatan isi rumah antara RM4,851 hingga RM5,880.

Dalam masa yang sama, Ismail Sabri menyokong usaha Kementerian Pengajian Tinggi meringankan beban mahasiswa yang turut berdepan isu kos sara hidup ketika ini.

“Memandangkan kos sara hidup masih tinggi termasuk dalam kalangan mahasiswa, saya dimaklumkan Menteri Pengajian Tinggi bahawa jualan murah akan diadakan di setiap universiti, di setiap institut pengajian tinggi mulai Oktober ini, selepas mahasiswa memasuki semula universiti,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri menyeru mahasiswa supaya mem­berikan komitmen dalam memartabatkan bahasa Melayu.

“Baru-baru ini, pengarah filem tersohor negara, U-Wei Saari telah memecahkan tradisi Festival Filem Antarabangsa di Moscow apabila menyampaikan ucapan dan mengumumkan nama pemenang menggunakan bahasa Melayu.

“Justeru, saya menyeru seluruh mahasiswa untuk memberikan komitmen dalam memartabatkan bahasa Melayu. Ini adalah satu cara untuk menyatakan kecintaan kita kepada negara. Saya sendiri menggunakan bahasa Melayu ketika berucap di pentas antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN