JERANTUT: Seorang lelaki menembak isterinya sebelum menembak dirinya dalam kejadian di belakang rumah pasangan itu di Kampung Labu, kira-kira pukul 8.30 pagi, hari ini.
Kejadian berlaku apabila pesara renjer Pejabat Perhutanan Jerantut berusia 73 tahun menembak isterinya yang juga pesara Pejabat Perhutanan Jerantut berusia 67 tahun.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitenden Mazlan Hassan berkata, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.30 pagi dari ketua kampung tersebut dan terus bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan.
Katanya, maklumat diterima memaklumkan terdapat kejadian bunuh diri menggunakan senjata api di Kampung Labu.
“Jiran berdekatan rumah itu terdengar tembakan datang dari arah rumah pasangan terbabit dan pergi ke rumah itu dan kelihatan lelaki itu telah meninggal dunia di tempat kejadian sambil terduduk kerana cedera di bahagian leher sebelah kiri bersama dengannya selaras senapang patah bersamanya.
“Saksi (jiran) lain yang berdekatan rumah itu terdengar dua bunyi tembakan dan terdengar orang menjerit minta tolong di sebuah rumah bersebelahan Homestay Kampung Labu,” katanya.
Katanya, saksi kejadian mendapati seorang wanita terbaring di bahagian belakang dapur dalam keadaan sedar sambil meminta tolong.
“Saksi menyatakan bahawa, wanita tersebut dalam keadaan kesakitan dan berdarah di bahagian pinggang. Jiran itu membawa wanita tersebut ke dalam kereta dan terus ke Hospital Jerantut Pahang untuk mendapatkan rawatan segera,” katanya.
Katanya, hasil siasatan mendapati, wanita itu meninggal dunia kerana mengalami kecederaan di bahagian belakang rusuk sebelah kiri.
“Punca pergaduhan berlaku kerana isteri si mati tidak memberi agihan wang hasil jualan tanah dan menyebabkan tidak berpuas hati. Lelaki tersebut mempunyai lesen senjata api. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Siasatan masih diteruskan dan post mortem akan dijalankan,” katanya.
Ketua Kampung Labu, Hamdan Ismail, 54, berkata, kali terakhir berjumpa mangsa pada Ogos lalu.
“Arwah (lelaki) seorang yang baik merupakan seorang yang dikenali dalam kalangan penduduk di sini. Saya tidak tahu apa punca kejadian dan menyerahkan kepada pihak polis menyiasat,” jelasnya.
Penyewa inap desa di kampung itu, Che Ahmad Yassin Abd. Rahman berkata, dia terdengar bunyi tembakan pertama kira-kira pukul 7 pagi disusuli suara wanita menjerit kuat dari arah dapur rumah.
“Kemudian disusuli tembakan kedua dan senyap. Saya cuma melihat dari jauh dan tidak berani mendekati kejadian kerana kes ini bukan berlaku di tempat saya kerana saya hanya penyewa inap desa,” katanya. – UTUSAN











