Lelaki ditahan akibat tumbuk adik - Utusan Malaysia

Lelaki ditahan akibat tumbuk adik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gara-gara tidak berpuas hati disindir adiknya, seorang lelaki tergamak menumbuk muka adiknya itu sehingga retak tulang di bawah mata.

Kejadian berlaku pada 5 September lalu apabila suspek berusia 27 tahun yang ketika itu sedang berbincang dengan ibunya, dipercayai berselisih faham dengan adiknya berusia 20 tahun di kediaman mereka di Pandan Perdana di sini.

Mangsa dipukul sehingga rebah dan pitam sebelum dihantar ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan selepas mengalami kecederaan teruk di muka.

Doktor yang merawatnya kemudian membuat laporan polis selepas melihat kecederaan teruk dialami mangsa.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, susulan itu, polis mengesan suspek dan menahannya di Skudai, Johor kelmarin.

Menurutnya, siasatan mendapati punca kejadian akibat berlaku perselisihan faham antara adik-beradik dan suspek direman bagi membantu siasatan.

“Semakan juga mendapati suspek memiliki tujuh rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun, dan dikenakan denda,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN