Lelaki cederakan peniaga ditahan polis

Lelaki cederakan peniaga ditahan polis

RUPEAH ABD. WAHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Lelaki yang mencederakan seorang peniaga selepas kereta mereka bergesel di Kilometer 18, Jalan Johor Bahru-Air Hitam, Jumaat lalu ditahan semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupeah Abd. Wahid berkata, suspek berusia 39 tahun itu ditahan pada pukul 4.50 petang di tepi Jalan Putih, di sini bagi membantu  siasatan lanjut kes mencederakan seorang lelaki berusia 57 tahun dengan menggunakan objek tumpul. 

“Susulan laporan yang dibuat mangsa pada hari kejadian, polis telah menahan suspek untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kelmarin, tular dalam media sosial rakaman berdurasi sembilan saat melibatkan seorang individu telah dipukul di tengah lebuh raya berkenaan.

Rupiah berkata, siasatan polis mendapati kejadian ini berlaku pada 3.10 petang semasa mangsa memandu sebuah kereta Mercedes-Benz dalam perjalanan dari Muar ke Bukit Indah.

“Ketika memandu di lorong tengah, tiba-tiba sebuah kereta Proton Waja warna perak dipandu suspek yang memandu di lorong kanan telah mengubah haluan dan masuk di hadapan kereta mangsa.

“Tindakan itu menyebabkan kedua-dua kereta tersebut bergesel sebelum memberhentikan kenderaan masing-masing di tepi jalan,” katanya.

Selepas itu berlaku pertengkaran mulut sehingga mencetuskan pergaduhan sebelum suspek menggunakan objek tumpul untuk mencederakan mangsa.

“Akibat kejadian tersebut mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan lebam di tangan kiri. Mangsa terpaksa mendapatkan rawatan di klinik swasta,” katanya sambil memberitahu mangsa tampil membuat laporan pada pukul 5.19 petang.

Kes disiasat di bawah Seksyen 343 Kanun Keseksaan dan Peraturan 6 (1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 atas kesalahan memotong kenderaan lain dalam keadaan boleh menyebabkan bahaya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN