Ladang hutan beri pulangan pada negara

Ladang hutan beri pulangan pada negara

MEOR RAZAK MEOR ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Langkah untuk mengadakan ladang hutan sebagai usaha mengatasi penerokaan Hutan Simpanan Kekal (HSK) perlu dipertimbangkan oleh kerajaan kerana bukan sahaja mampu menjaga kelestarian alam tetapi turut memberi pulangan pada negara.

Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, kerajaan-kerajaan negeri digesa untuk memikirkan nilai komersial jangka masa panjang yang ada sekiranya usaha itu dapat dimartabatkan.

Menurut beliau, walaupun hasil daripada ladang hutan perlu ditunggu sekitar 20 hingga 30 tahun tetapi hasilnya bakal membantu negara dalam memacu pergerakan ekonomi melalui pembekalan kayu-kayu berkualiti tanpa henti.

“Kita bangunkan kawasan-kawasan tanah terbiar milik kerajaan mahupun persendirian, kerana ia sangat banyak. Kita pulihkan ia dan menjadikannya sebagai satu kawasan yang produktif iaitu memberi pulangan pada negara.

“Ada sesetengah daripada tanah terbiar ni tidak sesuai dijadikan pertanian tertentu seperti pokok getah kerana tidak sesuai ditanam di kawasan bekas lombong tetapi untuk mengusahakan ladang hutan kita boleh mengenal pasti spesies mana sesuai untuk kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan, bekas Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor mencadangkan supaya lebih empat juta hektar tanah terbiar dijadikan ladang hutan sebagai langkah mengatasi masalah hutan-hutan simpan yang semakin mengecil akibat terus diteroka.

Meor Razak berkata, pokok-pokok yang sesuai dijadikan sebagai tanaman di ladang hutan bergantung kepada bentuk infrastruktur bumi itu sendiri dan kajian mengenai kesesuaian tanah itu sendiri perlu dilakukan terlebih dahulu.

“Kawasan bekas lombong kebiasaannya tanah berpasir, jadi ada spesies-spesies yang tidak sesuai ditanam di situ. Antara contoh, jenis pokok boleh ditanam di kawasan tersebut adalah pokok Jati dan beberapa jenis lain.

“Sekiranya kawasan yang ingin dijadikan sebagai ladang hutan tu berbukit, ia sesuai ditanam pokok-pokok bernilai tinggi seperti pokok Meranti. Ini sesuai diusahakan daripada membiarkan kawasan tu hanya mempunyai belukar dan bersemak serta tiada produktif.

“Kalau ada produktif dulu pun, orang tanam pokok getah tetapi sekarang ni nilai hasil daripada pokok tersebut sudah jatuh. Jadi kenapa kita tidak menanam pokok-pokok balak yang bernilai komersial seperti pokok meranti tembaga, pokok cengal dan pokok merbau,” katanya.

Tambahnya, usaha itu dapat membekalkan kayu secara bepanjangan dan berterusan tanpa mengganggu atau eksploitasi kawasan HSK yang kini sering diteroka untuk mendapatkan kayu-kayu berkualiti tinggi.

“Mana nak cari pokok merbau di tanah-tanah persendirian? Memang sudah tiada kecuali di HSK, itupun sudah hampir sukar untuk didapatkan. Itu sebabnya, kami memang amat mengalu-alukan cadangan untuk menjadikan tanah terbiar sebagai ladang hutan,” jelasnya

Sementara itu, Meor Razak turut mengulas mengenai projek ladang durian Musang King di Gunung Inas, Baling, Kedah yang katanya ia tidak sepatutnya dibangunkan di dalam HSK.

“Tetapi ini terjadi kerana sebilangan kerajaan negeri, mereka nampak keuntungan jangka pendek tetapi tidak jangka panjang. Jika nampak mereka akan mewujudkan ladang hutan yang jelas memberi keuntungan berterusan,” ujarnya.

HABIS

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya