KPLB perlu peruntukan RM50 juta projek lampu jalan kampung

KPLB perlu peruntukan RM50 juta laksana projek lampu jalan kampung

-RAMLAN Harun menyerahkan dokumen projek lampu jalan kampung kepada Mohd. Yaakob Jaafar di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berharap menerima peruntukan RM50 juta menerusi Bajet 2023 bagi melaksana lebih banyak program pemasangan lampu jalan kampung (LJK) di seluruh negara.

Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun berkata, biarpun kebanyakan negeri sudah mendapat lampu jalan namun, masih terdapat kampung-kampung di luar bandar yang memerlukan lampu jalan.

Maka, KPLB berharap akan menerima peruntukan tambahan bagi melaksana projek pemasangan LJK dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada awal Oktober.

Peruntukan RM50 juta itu nanti akan diagihkan mengikut keperluan kepada negeri-negeri yang memerlukan.

Sehingga kini, sebanyak 49,856 unit lampu jalan dipasang di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sejak 2002 yang melibatkan kos sebanyak RM60 juta.

Menurut beliau, sejumlah RM8.26 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan program pemasangan LJK Fasa 10 dan Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di Sabah dan Labuan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM5.96 juta diperuntukkan bagi program pemasangan LJK manakala, RM2.30juta bagi pembaikan Stesen Janakuasa Diesel penyusunan semula kampung (PSK) di Kampung Balat dan Kampung Litang, Kinabatangan.

“Projek LJK yang telah siap dipasang akan diserahkan kepada pihak berkuasa elektik negeri iaitu Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) bagi tujuan pengoperasian dan penyelenggaraan secara berterusan,” katanya semasa majlis penyerahan program pemasangan lampu jalan kampung Fasa 10 dan projek BELB Janakuasa Diesel PSK Kampung Balat dan Kampung Litang hari ini.

Dokumen penyerahan program itu ditandatangani oleh Ramlan bersama Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir. Mohd. Yaakob Jaafar dan Pengurus Besar SESB merangkap Pengarah Projek LJK 10, Abdul Razak Salleh.

Mengulas lanjut katanya, biarpun projek BELB Janakuasa Diesel telah siap enam tahun lalu namun, terdapat beberapa kerosakkan yang berlaku dengan wear and tear serta kerosakan akibat gangguan hidupan liar.

Justeru, pihak SESB selaku kontraktor telah dilantik untuk melaksanakan pembaikan dengan kos kontrak sebanyak RM 2.3 juta.

”Kita tahu terdapat cabaran dan halangan dalam menyiapkan projek ini terutama dari segi geografi dan keadaan Sabah sebagai sebuah negeri yang luas dan mempunyai 24 Parlimen serta kawasan luar bandar yang banyak,” katanya.

Jelas beliau, kerajaan amat prihatin terhadap kelangsungan kehidupan masyarakat luar bandar. Maka, pelaksanaan dan penyiapan projek sebegitu akan membantu meningkatkan keselesaan dan keselamatan penduduk luar bandar.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya