KKM teliti kajian dekriminalisasi bunuh diri AGC

KKM teliti kajian dekriminalisasi bunuh diri AGC

KHAIRY Jamaluddin beramah mesra bersama penerima selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada NGO pada Majlis Agihan Dana Program Kesihatan Mental Kepada NGO di Putrajaya. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menyemak semula kertas cadangan dekriminalisasi bunuh diri sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, semakan semula itu dibuat bagi mengambil kira kajian yang dilakukan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung cadangan berkenaan selepas pihaknya menerima hasil kajian penuh jabatan itu.

“Hasil kajian itu akan dibincangkan terlebih dahulu menerusi sesi libat urus bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pada waktu saya bawa cadangan itu sebelum ini, KDN tidak berapa setuju. Kali ini, kita tengoklah sama ada mereka boleh dipengaruhi untuk menyokong usaha kita ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Agihan Dana Kesihatan Mental Kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan di sini, hari ini.

Katanya, Jemaah Menteri juga akan memutuskan sama ada cadangan itu akan dibawa pada sesi Parlimen akan datang atau tidak.

Khairy sebelum ini memaklumkan, perbuatan atau cubaan membunuh diri tidak wajar untuk diletakkan mengikut kategori jenayah, sebaliknya ia wajar ditangani dengan kaedah intervensi klinikal.

Menurutnya, dekriminalisasi bunuh diri sahaja bukanlah penyelesaian tuntas, tetapi ia adalah satu kenyataan dengan niat dan ia juga bukan jenayah, tetapi satu isu mental.

Mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan, individu yang disabit kesalahan kerana cubaan bunuh diri boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun, denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, Khairy berkata, KKM memohon peruntukan sebanyak RM413.58 juta dalam Bajet 2023 bagi memperkasakan perkhidmatan sokongan kesihatan mental, kaunseling dan psikososial di negara ini.

Menurutnya, peruntukan itu membabitkan pembayaran emolumen dan pelbagai elaun bagi pegawai yang menjalankan perkhidmatan psikiatri, psikologi dan kaunseling di hospital dan klinik,” katanya.

Terdahulu, pada majlis sama, Khairy mengagihkan RM6.2 juta kepada 52 NGO kesihatan mental yang bergiat aktif dalam melaksanakan aktiviti masyarakat.

“Saya yakin bahawa agihan bantuan dana kepada NGO-NGO ini akan dapat membantu usaha dalam melaksanakan aktiviti kesihatan mental secara efektif dan bersepadu kepada masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN