PETALING JAYA: Polis mengesahkan enam kertas siasatan membabitkan seorang pendakwah selebriti tanah air yang dikaitkan dengan kes jenayah amang seksual terhadap remaja lelaki telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada 14 September lalu.
Setiausaha Polis Malaysia (SUPM), Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, kertas siasatan berkenaan dirujuk dengan cadangan suspek dituduh di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak Kanak (AKSTK).
Kata beliau, daripada jumlah itu, empat kertas siasatan di Selangor dan dua lagi membabitkan laporan di Negeri Sembilan.
“Terdapat satu kertas siasatan di Kuala Lumpur yang masih dalam tindakan. Setakat ini, sebanyak tujuh laporan polis dibuat terhadap pendakwah selebriti berkenaan dan suspek kini telah dibebaskan dengan jamin polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Laporan Mingguan Malaysia hari mendedahkan, dua kertas siasatan membabitkan pendakwah selebriti berkenaan telah dirujuk TPR untuk tindakan selanjutnya.
Kata sumber itu, reman membabitkan pendakwah selebriti berkenaan di Negeri Sembilan tamat semalam.
Terdahulu, pendakwah selebriti berusia 40-an itu ditahan pada minggu lalu, susulan laporan dibuat beberapa mangsa membabitkan remaja sekolah.
Penceramah selebriti berkenaan dipercayai berkenalan dengan mangsa sewaktu mengikuti program sesi motivasi sebelum dikatakan dipujuk dan dipaksa melakukan perbuatan amang seksual fizikal.
Difahamkan, mangsa kes amang seksual fizikal terbabit mendakwa diarah melakukan perbuatan tidak senonoh oleh suspek yang pernah menyertai program realiti agama sebelum ini.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dilaporkan berkata,semua laporan polis dibuat oleh empat individu berusia lingkungan 17 hingga 18 tahun.
Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. – UTUSAN