IPOH: Kertas siasatan kes dakwaan culik seorang murid di sebuah sekolah rendah di Taman Pinji Mewah di sini akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk arahan lanjut.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, siasatan lanjut dari pelbagai sudut sedang dijalankan bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.
“Kita akan membuat penilaian dari pelbagai sudut termasuk jika ada cadangan mendakwa ibu bapa murid berkenaan kerana membuat laporan palsu.
“Buat masa sekarang, kita masih di peringkat melengkapkan kertas siasatan. Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” katanya ketika ditemui di Mes Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu culik dan Seksyen 182 kanun sama kerana membuat laporan palsu.
Terdahulu, tular di media sosial pada Ahad lalu berhubung insiden cubaan melarikan seorang murid perempuan di hadapan sebuah sekolah rendah selepas laporan polis berkaitan kejadian itu dimuat naik keluarga mangsa di Facebook.
Berdasarkan hantaran itu, murid berusia sembilan tahun bersama seorang rakan dikatakan dihampiri lelaki menaiki van berwarna putih sekitar pukul 1 petang, Jumaat lalu sebelum diajak mengikutnya dan dijanjikan gula-gula.
Bagaimanapun, siasatan polis mendapati dakwaan diculik itu adalah rekaan kanak-kanak tersebut selepas terpengaruh dengan video-video tular berkaitan kes penculikan dan penjualan organ di media sosial.
Terdahulu Mohd. Yusri menyaksikan majlis serah terima tugas jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Perak di antara Datuk Anuar Othman dengan timbalannya, Asisten Komisioner Zaihairul Idrus.
Zaihairul memangku jawatan itu selepas Anuar dinaikkan pangkat daripada Senior Asisten Komisioner kepada Deputi Komisioner dan memulakan tugas sebagai Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur.
Pada majlis sama turut diadakan majlis serah terima tugas antara Senior Asisten Komisioner Osman Mamat dengan Ketua Polis Daerah Taiping yang baharu, Asisten Komisioner Razlam Ab. Hamid.
Osman Mamat menggalas tanggungjawab baharu sebagai Ketua Penolong Pengarah (Perancangan dan Pembangunan Dasar Strategik), Bahagian Dasar Sumber Manusia, Jabatan Pengurusan Bukit Aman. – UTUSAN