Kerajaan tangani kekurangan pelajar bidang STEM

Kerajaan tangani kekurangan pelajar bidang STEM

Ismail Sabri Yaakob bersama para penerima Anugerah Program Penajaan Pendidikan Petronas 2022 pada majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan ber­tindak menangani isu kekurangan bilangan pelajar dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) di Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sentiasa berusaha mem­perkasa bidang sains, teknologi, dan inovasi (STI) kerana ia dianggap sebagai pemboleh daya kepada pemantapan sosioekonomi negara.

Disebabkan itu, katanya, Petronas menjadi penyokong kuat kepada usaha tersebut dan me­laksanakan pelbagai inisiatif ser­ta program bagi memupuk mi­nat pelajar dalam bidang STEM bermula dari sekolah rendah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya memandang serius tentang bilangan pelajar dalam bidang STEM yang kini berada pada kadar 47 peratus dan Sains Tulen pada 19 peratus dengan meneliti Hala Tuju STEM sebagai persediaan rapi mengharungi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

“Kita harus memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam bidang STEM untuk terus kekal mampan dan berdaya saing di peringkat global,” katanya ketika merasmikan majlis penyam­paian Anugerah Program Penajaan Pendidikan Petronas 2022 di sini, semalam.

Sebelum ini, Pengerusi National Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Movement, Prof. Datuk Dr. Noraini Idris pernah mendedahkan hanya sebanyak 19 peratus murid-murid negara ini yang memilih aliran STEM pada tahun 2020.

Selain itu, Malaysia diramal bakal kehilangan golongan profesional dalam masa 10 tahun lagi sekiranya hanya segelintir pelajar memilih melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dalam tempoh terdekat.

Perkara tersebut dibimbangi berlaku apabila 72.1 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak berminat menyambung pelajaran di pusat pengajian tinggi.

Hal yang sama dapat dilihat dalam kemasukan ke Kolej Komuniti di Pasir Mas, Kelantan baru-baru ini menunjukkan penurunan sebanyak 20 peratus berbanding tahun lalu.

Ismail Sabri berkata, Petronas turut melaksanakan Skim Peningkatan Kebolehpasaran Graduan (GEES) bertujuan meningkatkan kebolehpasaran graduan baharu, sama ada menceburkan diri dalam bidang pekerjaan atau berniaga sendiri setelah selesai mengikuti program berkenaan.

“Setakat ini, Petronas me­latih lebih 4,000 graduan tempatan yang mana 70 peratus daripadanya berjaya mendapat pekerjaan tetap dalam bidang yang diceburi mereka.

“Saya turut dimaklumkan Petronas turut menyokong program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Program (TVET) yang menjadi ke­utamaan negara bagi menyedikan bakat masa depan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini