Kelab Golf Tasek Puteri…jadi pilihan ramai

Kelab Golf Tasik Puteri…jadi pilihan ramai

PADANG golf Tasik Puteri Golf Club & Resort (TPGCR) kini sentiasa menjadi pilihan ramai pemain-pemain golf termasuk pemain dari Korea dan Jepun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Minggu lalu tercapai hasrat untuk bermain golf di Kelab Golf Tasik Puteri Resort (TPGCR) setelah hampir tiga tahun tidak berkunjung ke kelab golf yang terletak di Rawang, Selangor, sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 melanda negara Januari 2020.

TPGCR sememangnya menjadi bual bicara dalam kalangan ‘kaki-kaki’ golf termasuk di luar Lembah Klang. Ramai memuji, tak kurang juga yang menyinis, namun kelab golf ini sentiasa menjadi pilihan pemain-pemain muda, pertengahan dan golongan pesara.

Sebaik sahaja sampai di TPGCR, imej baharu yang ditampilkan pihak pengurusan agak mengejutkan! Bermula dari tapak parkir menuju ke golfer terrace, bilik persalinan, semuanya persis kelab golf elit di luar negara.

“Tidak hanya di sini, pihak kelab juga turut membaik pulih padang dan green di tiga nine – Putera, Puteri dan Tasik. Kelajuan green pun sudah cecah 9 atau 9.5,” kata Johan Rosli, Pengurus Kanan TPGCR ketika menyambut ketibaan kami di sini.

Mendengar penjelasan itu, tidak sabar untuk beraksi sambil melihat apakah perubahan yang sudah dan sedang dilakukan di tee box, lapangan dan green yang menjadi aset penting kepada sesebuah kelab golf.

Bermula di lubang pertama sehinggalah lubang sembilan Tasik, memang jelas naik taraf yang dilakukan terhadap green di Tasik yang mana hanya sedikit sangat lompatan bola golf apabila melakukan pukulan putt ke lubang pada kelajuan 9 di sebelah pagi dan mencecah 9.5 tatkala matahari mula menegak.

Karakter di Tasik cukup berbeza jika dibandingkan dengan Putera dan Puteri. Pertama jarak di Tasik cukup panjang dengan jarak keseluruhan 3,489 meter berbanding Putera (3,119 meter) dan Puteri (3,087 meter).

Selain jarak, sememangnya di Tasik lapang, terdapat banyak kolam dan sedikit sahaja berbukit, sementara di Putera dan Puteri lebih kepada selekoh kanan dan kiri selain turut dihalangi oleh pokok-pokok kelapa sawit, kolam dan juga bunker berdekatan green.  

KEADAAN green yang menghijau dengan kelajuan mencecah 9 memberi kepuasan kepada pemain ketika melakukan putt.

Bagi pemain yang mampu melakukan pukulan tee off jauh, mereka berpeluang mencipta eagle atau birdie di kesemua par 5 lapangan Putera dan Puteri kerana jarak yang pendek. Namun begitu, walaupun jaraknya pendek tetapi sebenarnya bukan mudah untuk melakar eagle atau birdie kerana setiap pemain perlu bijak melakukan pukulan bagi mengelak bola terkena pokok atau masuk ke dalam perangkap bunker berhampiran green.

Selain itu, keadaan green di Putera dan Puteri juga ada karektornya tersendiri dan pemain perlu bijak melakukan pukulan putt ke lubang bersesuaian dengan kelajuan green yang kadang-kadang mencecah skala 9. 

Di samping dengan bantuan kedi-kedi yang mempunyai pengalaman sebagai penunjuk arah (line putting), ia jelas banyak membantu dan memudahkan seseorang pemain itu mencipta sama ada birdie, par atau bogey. Namun ada juga pemain yang dapat double bogey atau triple bogey.

JIKA pukulan tersasar, bola akan menjunam ke tasik yang mengelilingi green di lubang enam par 3 lapangan Tasek dengan jarak 146 meter dari tee box biru.

Menurut Johan, banyak lagi yang akan dilakukan oleh pihak pengurusan dalam usaha menaik taraf kelab TPGCR bagi menjadikannya antara kelab golf tersohor dan menjadi pilihan ramai pemain-pemain golf sama ada dalam negeri mahupun luar negeri.

“Keadaan lapangan terutamanya green sememangnya menjadi keutamaan kami kerana ia bakal memberi kepuasan kepada pemain apabila beraksi di sini. Sudah banyak yang pihak kelab lakukan untuk menaik taraf TPGCR dari semua sektor selepas era PKP akibat pandemik Covid-19 lalu.

“Selain padang dan green, ada beberapa lagi sektor lain yang sedang kami naik taraf seperti dewan untuk kemudahan pemain golf dan acara-acara lain seperti perkahwinan atau program-program kekeluargaan atau syarikat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.  

BILIK persalinan yang berwajah baharu persis kelab golf bertaraf lima bintang.

Menurut Johan, sejak banyak perubahan yang dilakukan, TPGCR kini sentiasa menjadi pilihan pemain-pemain golf bukan sahaja dari Lembah Klang dan lain-lain negeri, malah ada juga dari Jepun dan Korea yang datang beraksi di sini.

“Baru-baru ini juga TPGCR menjadi lokasi pilihan untuk kejohanan remaja yang disertai seramai 199 peserta daripada seluruh negeri.

“Selain itu, TPGCR kini memfokuskan kepada pelbagai program pembangunan golf untuk remaja apabila menjalin kerjasama dengan Persatuan Golf Remaja Malaysia (MGJA) dan Sport Excel,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya