KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas minuman keras pelbagai jenama bernilai RM619,299.84 termasuk cukai di sebuah rumah di Jalan Tamparuli-Togop baru-baru ini.
Penolong Ketua Pengarah JKDM Sabah, Cheong Yu Min berkata, hasil maklumat orang awam, Bahagian Penguatkuasaan Kastam bersama Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (Cobra) melakukan serbuan di sebuah rumah kampung dan merampas 31,775.04 liter minuman keras pada 24 Ogos, kira-kira pukul 8 malam.
“Semasa serbuan dibuat juga terdapat tiga buah lori tiga tan berada di lokasi rumah berkenaan.

“Pemeriksaan ke atas rumah tidak bernombor dan lori-lori yang berada di kawasan rumah tersebut telah menemukan sejumlah minuman keras pelbagai jenama dianggarkan sebanyak 31,775.04 liter.
“Barangan tidak bercukai itu bernilai RM123,450.03 dengan anggaran duti dan cukai yang terlibat sebanyak RM495,849.81,” katanya ketika sidang akhbar hari ini.
Yu Min berkata, tiada sebarang tangkapan dilakukan kerana semasa serbuan rumah tersebut tidak berpenghuni dan dalam keadaan berkunci.
Semasa serbuan, anggota terpaksa memecah masuk rumah tersebut manakala kesemua lori yang diletakkan di kawasan rumah juga tiada pemandu atau kelindan.
“Kesemua minuman keras yang ditemukan serta tiga buah lori dirampas dan dibawa balik ke pejabat untuk siasatan lanjut,” katanya.
Menurut beliau, modus operandi bagi kes itu adalah menyimpan barang-barang tidak bercukai di dalam rumah yang dijadikan sebagai transit sebelum pengedaran dengan menggunakan lori tiga tan jenis bonded truck (lori kotak) bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.
Justeru, beliau menasihatkan orang awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam ditalian 1-800-88-8855 atau pejabat Kastam yang berhampiran di semua negeri.
Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan. – UTUSAN