Kabinet  mungkin bincang PRU15 Rabu ini

Kabinet  mungkin bincang PRU15 Rabu ini – Ismail Sabri

ISMAIL Sabri Yaakob ketika melancarkan DTN 2022-2040 di Putrajaya - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan membawa cadangan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat pada mesyuarat Kabinet Rabu ini.

Beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan semua jemaah menteri kerana ia dianggotai wakil-wakil pelbagai parti.

Kata beliau, ini termasuk perbincangan mengenai kedudukan ekonomi negara sama ada ia disifatkan berjaya atau sebaliknya yang akan dibentangkan menteri berkaitan.

“Saya akan bawa dalam Kabinet (PRU15)  bincang semua pihak kalau Tan Sri Muhyiddin Yassin nak PRU cepat, kita bincang sebab dalam Kabinet ada wakil daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan UMNO.

“Kita bawa ke Kabinet secepat mungkin, mungkin mendahului daripada ‘Top 5’ (lima pemimpin tertinggi UMNO). Rabu ini ada Kabinet sebelum saya ke New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA), mungkin boleh bawa dan bincang Rabu ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Dasar Tenaga Negara 2022-2040, di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, tarikh PRU15 akan dibincangkan terlebih dahulu dengan Top 5 yang kebiasaannya diadakan sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) pada 30 September ini.

“Kita belum bincang dari segi tarikh dalam Top 5 untuk menetapkannya. 

“Biasanya sebelum mesyuarat MT. Kalau MT malam, petang itu jumpa Top 5 dan Biro Politik sekali. Kita bincang semua perkara berkaitan (termasuk kesesuaian diadakan PRU semasa banjir),” katanya.

Ditanya mengenai pandangan Muhyiddin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang menyifatkan Perdana Menteri gagal dalam menguruskan ekonomi negara, katanya, jika beliau gagal bermakna semua gagal termasuk MPN.

“Dari segi ekonomi, Datuk Seri Mustapa Mohamed urus hal ehwal ekonomi dan kita ada MPN dipengerusikan Muhyiddin yang nasihatkan kerajaan.

“Tok Pa (Mustapa) tanggungjawab dari ekonomi, jadi tanggungjawab bersama. Kalau gagal bermakna semua gagal termasuk MPN gagal,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN