Judi online berselindung di sebalik kedai runcit, pasar raya mini

Judi online berselindung di sebalik kedai runcit, pasar raya mini

HUSSIN ZAMORA (kiri) ketika turut sama dalam operasi pemotongan elektrik bersepadu di sekitar daerah Kota Tinggi, Johor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Pelbagai taktik digunakan sindiket perjudian dalam talian untuk mengaburi mata pihak berkuasa supaya tidak mudah dikesan. Antaranya, dengan menjalankan kedai runcit, pasar raya mini dan kedai kopi.

Namun, hasil maklumat dan risikan, aktiviti haram tersebut akhirnya dapat dibongkar seperti yang dilakukan lima premis di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, pihaknya dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini melakukan pemotongan bekalan elektrik ke atas premis yang didapati menjalankan perjudian dalam talian.

Katanya, operasi selama dua jam itu turut berjaya menahan lima suspek warga tempatan berusia antara 20 hingga 40 tahun yang bertindak sebagai penjaga premis berkenaan. 

“Pemotongan ini kita lakukan selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Risikan yang kita buat terhadap kesemua premis terlibat ini mendapati mereka telah beroperasi dalam tempoh satu hingga tiga bulan.Dalam operasi ini pihak TNB telah membuat pemotongan bekalan elektrik bagi elakkan kejadian seumpama ini terus berlaku. 

“Mereka berselindung di sebalik kedai kopi, mini mart dan tambah nilai aksesori telefon untuk mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya yang turut serta dalam operasi pemotongan elektrik bersepadu di sekitar daerah ini.

Hussin berkata, kegiatan perjudian dalam talian itu turut dikesan berlaku di kawasan Felda selain bandar bahkan mereka akan melakukannya di mana sahaja. 

Menurutnya, kebanyakan kegiatan itu dilakukan oleh penyewa, bukannya pemilik premis berkenaan.

“Dengan tindakan pemotongan elektrik ini, pemilik premis boleh membuat permohonan kepada pihak polis untuk penyambungan meter semula. Namun, kita akan terus pantau dan jika risikan kita mendapati berlaku kegiatan sama, kita tidak akan benarkan penyambungan meter.

“Sekiranya didapati kegiatan perjudian dalam talian ini berulang, kita juga akan mencadangkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk membatalkan lesen perniagaan tersebut,” katanya.

Katanya, sejak Januari hingga Ogos lalu, sebanyak 32 serbuan melibatkan aktiviti judi dalam talian telah dilakukan, manakala sebanyak 30 serbuan pula membabitkan loteri haram awam dan satu melibatkan judi di luar bangunan.

“Daripada serbuan itu, sebanyak 79 tangkapan dilakukan dan sebanyak tujuh premis dipotong bekalan elektrik bagi tempoh tersebut,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN