PETALING JAYA: Birokrasi yang melampau dan ketiadaan ketelusan dalam proses perolehan kerajaan dilihat boleh menyumbang ‘aktiviti gelap’ antara sektor swasta dan pegawai yang korup, kata Tan Sri Azam Baki.
Azam Baki yang merupakan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berkata, jenayah kewangan masih berleluasa dan menyumbang kepada aktiviti haram yang berterusan seperti isu alam sekitar serta ketirisan dalam perolehan kerajaan untuk pembangunan negara.
Tegas beliau, jenayah kewangan dan rasuah boleh menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara, pembangunan ekonomi yang stabil, kelestarian alam sekitar.
“Ketelusan perlu diterapkan dalam kitaran perolehan yang melibatkan proses penilaian bekalan, peruntukan belanjawan, tawaran dan tender terbuka, pelaksanaan kontrak serta pengauditan dalam usaha untuk mencegah rasuah,” katanya di Persidangan Antarabangsa ke-12 Kriminologi Kewangan di Universiti Cambridge, United Kingdom baru-baru ini.
Azam berkata demikian dalam ucaptama pada pembukaan persidangan antarabangsa bertemakan ‘Mencapai Matlamat Pembangunan Mampan Menerusi Ketelusan Kewangan’.
Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya; Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Tan Kang Sai dan Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin serta Pengarah Bahagian Analisis Kewangan SPRM, Mohd. Azwan Ramli.
Hadir sama penceramah jemputan iaitu Pengarah Jenayah Transnasional Global Risk Alliance Ltd., United Kingdom, Profesor Dr. Rob McCusker dan Ahli Lembaga Audit Republik Indonesia Dr. Hendra Susanto
Dalam pada itu, tambah Azam, SPRM turut menghadapi pelbagai cabaran untuk memastikan pesalah dibawa ke muka pengadilan.
Walau bagaimanapun, kata beliau, gabungan perisikan secara berkesan adalah kunci kepada penyiasatan yang berjaya.
“Contoh yang boleh dilihat adalah beberapa kes profil tinggi yang masih dibicarakan di mahkamah serta kes yang baharu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan baru-baru ini.
“Ini berlaku selepas perjuangan yang panjang untuk SPRM, kerja keras kami untuk menyiasat kes-kes yang rumit, mendapatkan semula aset negara serta untuk membantu dalam pendakwaan telah membuahkan hasil, malah kerja masih diteruskan,” ujarnya.
Menyedari bahawa kejayaan itu datang dengan pengorbanan, beliau mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua pegawai-pegawainya atas integriti dan ketabahan mereka menghadapi tekanan yang luar biasa bersama.
“Sebagai orang yang menjaga integriti, tadbir urus yang baik dan anti-rasuah, kita perlu berdiri teguh di samping keazaman yang sempurna dan ketabahan dalam menegakkan amanah dan tanggungjawab tidak kira apa pun cabaran yang kita hadapi, tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya. – UTUSAN