Jangan takut ubah landskap industri - Nadhir Nasar - Utusan Malaysia

Jangan takut ubah landskap industri – Nadhir Nasar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GELARAN Juara Hero Remaja 2020 bukan tiket mudah. Perjalanan Nadhir Nasar dalam mencipta nama juga ada onak duri. Lebih-lebih lagi, pendatang baharu bersilih ganti hadir dengan pakej lengkap.

Disebut sebagai antara pelapis Hero Malaya sedia ada, Nadhir juga berdepan kritikan dan kecaman. Apatah lagi, ramai yang mula dengki, memerhati setiap langkah seninya.

Jawablah mendapatkan Nadhir. Berbicara tentang perjalanan seni, kritikan dan kehadiran mereka yang cemburu dengan peningkatan kerjayanya. Nadhir, jawablah!

Nadhir dilihat sebagai antara pelapis Hero Malaya. Tetapi dalam perjalanan menuju ke situ, semestinya ramai yang akan mengkritik, Nadhir lihat itu sebagai perkara sihat?

Semestinya, orang akan mengkritik. Saya terbuka dan terima kalau ada mengkritik. Apa yang baik, saya simpan, manakala yang jahat, saya perbaiki diri. Hakikatnya, kita tidak boleh puaskan hati semua orang.

Hero Malaya itu satu label yang sangat kuat. Saya tidak nampak diri sebagai seorang Hero Malaya. Saya lihat diri sebagai seorang yang unik dan berbeza. Tidak seperti hero-hero Malaya kita sebelum ini.

Selain Nadhir, ada beberapa nama pelakon lelaki seangkatan dilihat mempunyai masa depan yang cukup cerah. Bagaimana Nadhir melihat persaingan itu?

Saya bersyukur apabila ramai pelakon lelaki seangkatan yang berjaya menempatkan diri dalam industri dan ada masa depan cerah. Saya tidak rasa itu persaingan. Setiap kami ada jalan cerita dan percaturan sendiri. Kalau nak anggap itu satu persaingan sihat, saya terima.

Populariti akan datang dengan mata yang dengki. Maksudnya akan ada yang cuba menjatuhkan. Nadhir bersedia?

Saya fikir itu subjektif. Saya secara jujur, sebagai manusia, ada sahaja yang yang kita rasa tidak boleh untuk vibe together. Jadi, kalau ada yang tak suka saya, kita tak perlu tanya kenapa. Ini semua normal dalam kehidupan.

Bila kita di atas akan ada yang cuba menjatuhkan. Tuhan sudah tuliskan perjalanan itu untuk saya. Tidak perlu ambil berat, kita lihat sudut positif sahaja.

Nadhir berhati-hati dalam memilih naskhah? Adakah wujud rasa takut jika tersalah pilih?

Bagi saya, apabila kita memilih sesebuah naskhah, kita hormat pengarah, penulis skrip dan pemilik jalan cerita. Terpulang bagaimana kita mencorakkan sesebuah karya itu. Adakah kita mampu membawakan watak tersebut dengan cemerlang?

Kalau rasa 50-50, jangan. Beri kepada orang lain yang lebih layak. Mestilah saya takut tersalah pilih, tetapi itu sebahagian daripada perjalanan seni. Kalau tersilap, saya belajar dan lebih berhati-hati.

Ada yang cakap, pelakon sekarang tidak bertahan lama. Contohnya, popular sekadar untuk setahun dua. Setuju?

Sukar untuk saya ulas, tetapi bagi saya, ini soal identiti. Kita harus ada identiti sendiri. Satu lagi, apa niat kita masuk industri. Sebab minat? Nak popular? Buka perniagaan? Ia akan berbalik kepada niat asal kita.

Saya masuk industri seni sebab minat. Ada cita-cita dan misi untuk mengubah lanskap industri kita. Tidak perlu takut. Saban hari ada pelakon baharu. Masing-masing ada primetime tersendiri. Saya berpegang kepada prinsip, kalau kerja berkualiti, kita akan kekal lama.

Apa projek terbaharu Nadhir?

Sekarang saya sedang sibuk penggambaran naskhah baharu, Project High Council bersama Daiyan Trisha dan beberapa pelakon lain. Drama ini berkisahkan tentang budak sekolah, tetapi berbeza dengan Project Anchor. Sekarang ditayangkan drama Ash & Ash di slot Megadrama Astro Ria.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya