Jalan utama Pos Balar perlu peruntukan lebih RM200,000 - Utusan Malaysia

Jalan utama Pos Balar perlu peruntukan lebih RM200,000

MOHD. Syahbuddin Hashim meninjau kerosakan laluan masuk ke Pos Balar, Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Jalan utama yang menjadi laluan masuk ke penempatan masyarakat Orang Asli di Pos Balar di sini, memerlukan peruntukan lebih RM200,000 untuk kerja-kerja membaik pulih laluan berkenaan selepas mengalami kerosakan teruk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, jumlah tersebut hanya melibatkan pembinaan jalan dan tidak termasuk pembinaan jambatan.

Menurutnya, sebanyak dua laluan di kawasan tersebut yang mengalami kerosakan serius sudah dikenal pasti dan akan dibaik pulih secara bergotong-royong iaitu dari Pos Hau ke Pos Balar dan Pos Bihai ke Pos Balar.

“Kalau kita menunggu jalan perhubungan desa yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) akan mengambil masa yang agak lama dan buat masa sekarang kita masih tidak mengetahui status sebenar pembinaan jalan itu.

“Jadi kita akan membaiki segera dengan kaedah sapu jalan dahulu kerana kita tahu penduduk sukar untuk keluar ke bandar Gua Musang dan melaksanakan aktiviti harian mereka kerana jalan yang rosak teruk,” katanya di sini semalam.

Mohd. Syahbuddin memberitahu, kerja-kerja itu akan dimulakan dalam masa terdekat.

Katanya, beliau memahami kesusahan masyarakat Orang Asli khususnya ketika musim tengkujuh yang perlu melalui jalan rosak dan berselut.

“Saya sudah melihat sendiri kerosakan jalan yang dihadapi oleh 4,000 penduduk Orang Asli dan juga guru yang bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar dan SK Bihai. Saya berharap perkara mendapat perhatian segera oleh pihak yang berwajib. Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah juga berharap kerja pembaikian dapat dilakukan segera kerana musim tengkujuh akan tiba,” katanya.

Sebelum ini, lebih 1,000 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di 13 buah kampung di Pos Balar di sini merayu pihak kerajaan menaik taraf jalan perhubungan kampung mereka.

Sejak lebih 50 tahun lalu, Orang Asli berkenaan berdepan masalah kerosakan jalan balak yang teruk sehingga menjejaskan aktiviti dan kehidupan harian mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya