Islam, bahasa Melayu dan Raja-raja perlu ada dalam manifesto

Kedudukan Islam, bahasa Melayu dan raja-raja perlu ada dalam manifesto PRU15

WAN SALIM WAN MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORTE TOWN: Menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan mesti diberi pertimbangan serius dalam manifesto oleh setiap parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, perkara itu merupakan beberapa perkara asas dan penting yang perlu diberi pertimbangan oleh pemimpin politik dalam menyediakan manifesto PRU15 parti masing-masing.

Selain itu katanya, setiap parti juga perlu memartabatkan bahasa Melayu termasuk usaha mengembalikan tulisan Jawi kepada kedudukannya yang asal di dalam kurikulum pendidikan negara yang formal.

“Perkara-perkara ini mesti diberi pertimbangan serius dalam manifesto PRU15 kerana melibatkan elemen-elemen penting bagi mengekalkan suasana harmoni dalam hubungan antara warganegara Malaysia yang berbeza keturunan, agama dan budaya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Wan Salim, manifesto PRU15 juga perlu memberi perhatian terhadap perkara-perkara yang tidak mempertikaikan kedudukan Raja-Raja Melayu dan hak-hak kaum Melayu dan Bumiputera.

Selain itu tambahnya, usaha meneruskan pendidikan vernakular untuk semua kaum dengan dimasukkan subjek tentang latar belakang sejarah penubuhan negara Malaysia dan elemen patriotisme juga perlu dilakukan.

“Penekanan juga perlu diberikan terhadap pendidikan agama dan pendidikan moral di semua peringkat pengajian mulai tadika sehinga ke institusi pengajian tinggi. 

“Aspek lain adalah kebebasan sepenuhnya kepada mahkamah dan mengekalkan pengasingan antara kuasa eksekutif, legislatif dan judisiari,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Salim menjelaskan, beliau bukan seorang yang ahli dalam hal ehwal politik dan menyedari tidak wajar mencampuri urusan mana-mana parti politik.

“Namun, saya sekadar mengingatkan para pemimpin semua parti tentang beberapa perkara asas dan penting mengikut pandangan saya yang tidak wajar dipinggirkan dalam penyediaan manifesto oleh setiap parti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya