Helikopter Eurocopter EC120B dijumpai, juruterbang selamat

Helikopter Eurocopter EC120B dijumpai, juruterbang selamat

CATATAN Wee Ka Siong di laman sosial Facebooknya berkaitan penemuan helikopter Eurocopter EC120B yang dilaporkan hilang daripada radar semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Helikopter Eurocopter EC120B yang dilaporkan hilang dari radar selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang semalam, berjaya dijumpai pada pukul 8.20 pagi tadi.

Perkara tersebut dimaklumkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menerusi laman sosial Facebooknya sebentar tadi.

Menurut Ka Siong, juruterbang terlibat juga dijumpai selamat dan usaha membawanya keluar dari lokasi nahas sedang dijalankan.

“Syukur, saya baru sahaja dimaklumkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bahawa helikopter yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) semalam telah ditemui di lokasi nahas sekitar Bidor.

“Ketika ini, pasukan penyelamat sedang berusaha untuk membawa juruterbang helikopter keluar dari lokasi tersebut ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk rawatan,” katanya.

Menerusi catatannya di laman sosial tersebut, Ka Siong merakam pengharaan kepada agensi penyelamat termasuk pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Penerbangan helikopter Eurocopter EC120B dengan pendaftaran N409HH milik syarikat swasta itu dilaporkan gagal dihubungi KLATCC pada pukul 12.16 tengah hari semalam.

Helikopter yang dikendalikan seorang juruterbang dipercayai bukan warga tempatan itu berlepas dari Subang pada pukul 11.37 pagi dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh pada pukul 12.37 tengah hari.

Seramai 10 pegawai dan 197 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor dan Jabatan Perhutanan digerakkan dalam operasi mengesan mangsa. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya