PETALING JAYA: Kerajaan boleh melalui satu lagi episod ketidakstabilan sekiranya mana-mana individu terutama penyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin terus menuduh pentadbiran hari ini ‘gagal’.
Sehubungan itu, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Syed Fazmi Sayid Mohammad berkata, usaha menstabilkan politik sudah berjaya dicapai sehingga hari ini dan ia harus dikekalkan demi memastikan setiap usaha kerajaan tidak terjejas dan terbantut.
Jelas beliau, kerajaan berusaha mencari jalan terbaik untuk meminimumkan kesannya dan seharusnya menjadi tanggungjawab semua pihak kepemimpinan dalam kerajaan mahupun pembangkang untuk melihat krisis ini secara bersama, bukannya dari sudut politik kepartian semata.
“Menuding jari dan menuduh kerajaan hari ini ‘gagal’ bila mana bekas Perdana Menteri Kelapan (Muhyiddin) masih menjawat jawatan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan ditambah dengan jumlah menteri Kabinet dari Parti Bersatu yang masih berada dalam kerajaan hanya akan mengheret satu lagi episod kepada kecamukan politik yang akhirnya boleh membawa kepada ketidakstabilan politik yang pernah berlaku sebelum ini.
“Apa yang boleh kita katakan ialah Kerajaan Keluarga Malaysia tidak hanya memeluk tubuh atau berdiam diri tidak melakukan apa-apa dalam menangani krisis ekonomi yang bakal melanda banyak negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian dipercayai merujuk kenyataan bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Muhyiddin, Datuk Dr. Marzuki Mohamad malam tadi yang menyarankan pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri supaya tidak terperangkap dengan sindrom penafian, selain menyatakan rakyat ‘tidak termakan dengan nilai keluaran dalam negeri kasar (KDNK)’.
Ia susulan kenyataan balas Syed Fazmi sebelum ini yang menyifatkan Perdana Menteri tidak gagal mengurus ekonomi dengan merujuk kepada kadar pengangguran, kadar KDNK dan inflasi yang dikatakan terkawal.
Mengulas lanjut, Syed Fazmi berkata, Keluarga Malaysia tidak berada dalam sindrom penafian, malah kerajaan mendengar segala permasalahan rakyat.
“Jika kita mahu bercakap soal pemulihan negara pasca pandemik dalam apa jua aspek kita harus melihatnya secara rasional dan tidak hanya terikat dengan satu tajuk ekonomi semata kerana sektor ekonomi merupakan satu sektor atau tajuk besar yang selalu kita lihat dan menjadi ukuran kepada kedudukan negara kita.
“Ismail Sabri mengambil alih kerajaan semasa pandemik masih meruncing. Jumlah jangkitan masih tinggi dan kadar kematian juga mendukacitakan pada masa itu. Semua aktiviti ekonomi zaman Muhyiddin ditutup. Peniaga tidak dapat menyara keluarga mereka. Ramai yang hilang punca pendapatan dan larangan pergerakan ketika itu menjerumuskan ramai rakyat kepada kesusahan.
“Apabila Perdana Menteri kesembilan mengambil-alih tampuk pemerintahan negara, satu keputusan dan langkah berani atau ‘nekad’ dengan membuka sempadan dan aktiviti ekonomi berdasarkan nasihat demi memastikan rakyat tidak lagi dikurung dan disekat untuk mereka mencari kembali punca pendapatan mereka melalui sektor-sektor tertentu. Itulah yang dinamakan pemulihan ekonomi berbanding penguncupan ekonomi semasa pandemik,” katanya. – UTUSAN