Guru cemerlang sekolah rendah berpeluang naik gred lebih tinggi

Guru cemerlang sekolah rendah berpeluang naik gred lebih tinggi

RADZI JIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Guru cemerlang sekolah rendah berpeluang untuk dinaikkan ke gred lebih tinggi sehingga DG52 atau DG54, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin.

Menurut beliau, bagaimanapun ia tertakluk kepada kriteria dan perincian tertentu yang bakal diumumkan oleh Kementerian Pendidikan dalam masa terdekat.

“Di sekolah rendah guru siswazah ini sudah ramai, lebih 90 peratus seperti sekolah menengah. 

“Jadi guru cemerlang sekolah rendah pun akan diberi ruang sama seperti guru di sekolah menengah (mereka) akan naik ke gred 52 atau 54 namun tertakluk kepada kriteria dan perincian tertentu yang kita akan umumkan,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Warisan di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai rungutan dalam kalangan guru sekolah rendah bahawa kuota guru cemerlang hanya setakat gred DG48 sahaja berbanding guru sekolah menengah sehingga gred DG52 dan DG54 sedangkan mereka mempunyai tahap pendidikan sama.

Dalam perkembangan berlainan, Radzi memaklumkan gred guru penolong kanan (GPK) akan turut dinaikkan sekiranya sudah memenuhi kriteria yang ditetapkan.

“Kita dah bincang lama dengan JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) dan MOF (Kementerian Kewangan) untuk memohon persetujuan mereka agar gred (mereka) ini dapat tingkatkan dan umumnya mereka bersetuju.

“Selagi mereka melaksanakan tanggungjawab, mereka boleh kekal berada dalam kedudukan sebagai pentadbir sama ada guru besar atau guru penolong kanan selagi mana berada dalam gred ditetapkan. 

“Kesemua mereka akan dibenarkan ke DG54 tapi ada peraturan dan perincian yang akan dimaklumkan dalam masa terdekat, jadi tak perlu risau kerana kita telah buat penyusunan semula model struktur baharu dalam organisasi di sekolah,” ujarnya.

Semalam media melaporkan, guru besar sebagai pentadbir yang menyandang gred DG52 tidak akan kembali bertugas sebagai guru biasa di sekolah rendah seperti yang didakwa sebelum ini.

“Guru-guru besar yang terlibat yang sudah capai gred ini (DG52) jangan risau, cikgu akan kekal sebagai guru besar untuk tempoh yang ada dan perinciannya akan diumum kemudian dalam masa terdekat,” kata Radzi.

Pada 8 Sept lepas, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat dilaporkan meminta Radzi mengkaji semula dakwaan bahawa guru besar sebagai pentadbir yang menyandang gred DG52 akan kembali bertugas sebagai guru biasa di sekolah rendah.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya