Dakwaan gangguan seksual: Bapa pelakon remaja ditahan polis - Utusan Malaysia

Dakwaan gangguan seksual: Bapa pelakon remaja ditahan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bapa kepada seorang pelakon remaja yang didakwa melakukan perbuatan cabul ditahan polis semalam susulan pendedahan anaknya di satu program di YouTube baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, lelaki berusia 43 tahun itu ditahan di Kedah pada pukul 2.25 petang semalam.

“Pihak polis turut merampas sebuah telefon bimbit milik suspek dan akan dihantar ke Jabatan Forensik untuk dianalisis.

“Saringan air kencing ke atas suspek adalah negatif dan pemeriksaan lanjut tiada sebarang rekod lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek telah dibawa ke Mahkamah Shah Alam untuk mendapatkan perintah reman.

“Suspek direman sehingga Isnin depan untuk siasatan lanjut,” jelasnya.

Semalam polis mengesahkan menerima laporan dibuat seorang pelakon berusia 15 tahun yang mendakwa diganggu secara seksual oleh bapanya menerusi pendedahan dalam program ‘broadcast’ tersebut pada 10.25 malam, kelmarin.

Wan Mazlan dilaporkan berkata, dalam laporan itu menyatakan mangsa diganggu secara seksual oleh bapa kandungnya serta tidak menjaga kebajikan remaja terbabit.

“Mangsa juga mendakwa sering dipertontonkan dengan video lucah dalam telefon bimbit bapanya dalam kejadian antara tahun 2013 sehingga 2017 ketika mangsa berusia enam tahun semasa tinggal di kawasan daerah ini.

“Suspek dikatakan melakukan gangguan seksual terhadap mangsa apabila ibunya tiada bersama di rumah,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul, Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001 kerana mengabaikan seorang kanak-kanak dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan bagi kesalahan memiliki bahan lucah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN