BENTONG: Polis sedang menyiasat penularan sebuah video dari akaun Tik Tok milik ‘@alfitry_azimi52’ yang mendakwa seorang kanak-kanak hampir menjadi mangsa culik seorang wanita warga asing semalam di pusat peranginan Genting Highlands di sini.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, polis sehingga kini belum menerima laporan dari pihak yang terlibat dengan kejadian dakwaan culik tersebut.
“Bagaimanapun, pihak keselamatan Genting Highlands telah membuat laporan polis semalam pukul 8.16 malam berhubung video yang dimuat naik di Facebook ‘daily traffic report’ tentang kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zaiham, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong akan terus melakukan siasatan serta menghubungi pemilik akaun Tik Tok itu untuk maklumat lanjut berkaitan kejadian.
“Saya memohon kerjasama semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi tentang kejadian ini. Beri ruang dan masa kepada pihak polis untuk melakukan siasatan lebih lanjut,” ujarnya. – UTUSAN