Bergaduh kerana pertikaian kenaikan sewa rumah - Utusan Malaysia

Bergaduh kerana pertikaian kenaikan sewa rumah

TANGKAP layar yang memaparkan insiden yang didakwa pergaduhan di Pasir Mas, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Pertikaian kenaikan harga sewa rumah menjadi punca tercetusnya insiden pergaduhan melibatkan beberapa individu di hadapan sebuah premis syarikat penghantaran di sini sehingga menjadi sohor kini di laman sosial Facebook semalam.

Insiden berdurasi 17 saat yang dimuat naik pemilik akuan Facebook Info Banjir Kelantan itu berlaku pada Ahad sebelum ia tular.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, hasil siasatan lanjut yang dijalankan oleh pihaknya mendapati pergaduhan itu berpunca daripada pertikaian kenaikan sewa rumah antara pihak penyewa dan pemilik rumah.

Menurutnya, sebelum itu penyewa berjanji untuk menyerahkan kunci rumah pada hari kejadian namun gagal berbuat demikian menyebabkan berlaku pertikaian dan pergelutan antara kedua-dua belah pihak.

“Kedua-dua belah pihak yang terlibat sudah pun dipanggil ke Ibu pejabat Polis (IPD) Pasir Mas bagi memberi keterangan dan menyelesaikan pertikaian tersebut.

“Hasil perbincangan yang telah diadakan kedua-dua belah pihak mengakui kesilapan masing-masing dan tidak berhasrat untuk memanjangkan kes itu. Mereka juga mahu menyelesaikan perkara tersebut secara baik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Nasaruddin memberitahu, dalam insiden tersebut tiada sebarang kecederaan serius dialami oleh kedua-dua belah pihak yang terlibat.

Katanya, orang ramai dinasihati supaya tidak mudah menyebarkan sebarang berita atau perkara yang tidak pasti bagi mengelakkan kebimbangan serta salah faham dalam kalangan masyarakat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN