Belanjawan 2023:Kementerian Kesihatan sasar kenaikan 5 peratus

Belanjawan 2023: Kementerian Kesihatan sasar kenaikan lima peratus

KEMENTERIAN Kesihatan berharap kenakan lima peratus peruntukan dalam Belanjawan 2023. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan menyasarkan peningkatan peruntukan kesihatan kepada lima peratus dalam Belanjawan 2023.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada RM333.1 bilion peruntukan dalam belanjawan 2022 , kementeriannya hanya menerima sekitar 4.3 peratus bagi sektor kesihatan awam dan kira-kira 2.1 peratus bagi peruntukan kementerian.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan memerlukan kira-kira RM20 bilion bagi menaik taraf dan membaik pulih klinik-klinik kesihatan yang daif di pedalaman.

Maka, kementerian memerlukan peruntukan yang lebih tinggi berbanding peruntukan yang diterima sekarang.

“Sewajarnya kita dapat meningkatkan peruntukan itu kepada lima peratus dan jika ditambah dengan sektor swasta mungkin menjadi lapan peratus.

“Jika lihat negara-negara maju seperti Austalia, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor kesihatan mereka kira-kira 11 peratus, di Amerika Syarikat pula hampir 20 peratus namun, di negara kita, Kementerian Kesihatan hanya menerima 2.1 peratus sahaja.

“Jumlah itu tidak mencukupi jadi, kita berharap selepas pandemik Covid-19, kita dapat meningkatkan peruntukan bagi sektor kesihatan,” katanya selepas perasmian Persidangan Saintifik Pakar Perubatan Keluarga Ke-24 peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Menurut beliau, sekiranya peruntukan kesihatan ditambah maka, Kementerian Kesihatan dapat meningkatkan lagi perkhidmatan kesihatan agar lebih berkualiti dan selamat kepada rakyat Malaysia terutama mereka yang berada di pedalaman.

Dalam pada itu, kementeriannya juga sentiasa bersedia untuk sebarang krisis atau bencana yang berlaku di negara ini bagi memudahkan mereka membuka perkhidmatan dikawasan yang terjejas.

Bagi persediaan menghadapi pilihan raya juga begitu, penempatan perkhidmatan kesihatan akan ditentukan selepas pengumuman Pilihan Raya Umum Ke-15 dilaksanakan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN