Banjir paling teruk sejak 15 tahun - Utusan Malaysia

Banjir paling teruk sejak 15 tahun

JOHAN Buning membersihkan rumahnya di Pekan Sri Gading selepas dibenarkan pulang dari PPS SMK Sri Gading, Batu Pahat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Banjir yang melanda kelmarin disifatkan sebagai paling teruk sejak 15 tahun lalu dan dipercayai aliran air datang dari Bukit Batu yang terletak tidak jauh dari Pekan Seri Gading.

Seorang penduduk, Johan Buning, 38, berkata, jika pada 2007, air yang memasuki rumah hanya separas buku lali namun kali ini mencecah paras pinggang.

Akibatnya, banyak perabot serta peralatan elektrik rosak ditenggelami air kerana tidak menyangka air naik mendadak sedalam kira-kira 0.5 meter.

“Memang kami tak sangka air naik sedalam itu dan berlaku terlalu cepat sedangkan hujan hanya berlaku kira-kira dua jam.

“Walaupun ada yang mengaitkan dengan fenomena air pasang besar, namun sebelum ini ia tidak melibatkan sehingga banjir seperti ini,” katanya ketika ditemui sedang membersihkan rumahnya di Pekan Seri Gading hari ini.

Johan yang tinggal bersama isteri dan adiknya memberitahu, akibat air yang terlalu banyak masuk ke dalam rumah, mereka sekeluaga terpaksa menghabiskan masa hampir lapan jam untuk menimba air tersebut.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah yang ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gading berkata, seramai 227 mangsa melibatkan 64 keluarga masih ditempat di PPS itu.

“Mereka tidak dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing kerana halaman rumah masih digenangi air. Jika cuaca baik hingga petang ini dan kerja gotong-royong membersihkan rumah mangsa boleh dilakukan esok, mereka akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN