[VIDEO] Banjir melanda lagi di beberapa kampung berhampiran Tragedi Inas - Utusan Malaysia

[VIDEO] Banjir melanda lagi di beberapa kampung berhampiran Tragedi Inas

TANGKAP layar video yang dikongsi penduduk memaparkan limpahan air Sungai Kupang di Baling.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Beberapa kampung di Mukim Kupang, di sini termasuk Kampung Iboi, Padang Empang dan Tanjung Nering sekali lagi dilanda banjir dan aliran air deras petang tadi.

Malah, difahamkan struktur Jambatan Bailey yang dipasang sementara bagi menggantikan jambatan konkrit yang hanyut pada 4 Julai lalu turut senget dan dipercayai mengalami sedikit pergerakan daripada kedudukan asal.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Iboi, Abu Hasan Samah berkata, aliran air dari hulu Sungai Kupang turut deras seperti kejadian awal Julai itu.

“Namun, berdasarkan pemerhatian kasar didapati tiada timbunan kayu-kayu dan pokok yang banyak seperti dahulu cuma aliran air agak kuat.

“Tetapi tidak mustahil sekiranya 17 rumah yang lenyap terus akibat kepala air dan banjir lumpur pada Julai lalu masih berada di situ, mungkin akan terjejas teruk sekali lagi.

KEADAAN banjir yang berlaku di Sungai Kupang, Baling. – MEDIA SOSIAL

“Penduduk turut memaklumkan Jambatan Bailey kelihatan sedikit senget mungkin akibat dilanda air deras setelah bahagian bawahnya mungkin terdapat kayu dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Abu Hasan berkata, kira-kira 19 keluarga yang tinggal berhampiran sungai itu telah diminta untuk berpindah sebagai langkah berjaga-jaga.

Katanya, hujan yang bermula kira-kira pukul 5 petang itu sudah berhenti buat masa ini dan banjir juga semakin surut.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Baling, Leftenan (PA) Mohd. Faizol Ab. Aziz berkata, anggotanya bergerak ke lokasi bagi membantu sekiranya ada rumah penduduk tidak dapat didiami.

Menurut beliau, anggota APM kini sedang membantu penduduk dan jumlah mangsa terlibat masih dalam proses bancian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN