Banglo disyaki curi air diserbu

Banglo disyaki curi air diserbu

PENGUAT KUASA Sains dan SPAN menyerbu sebuah banglo dua tingkat di Taman Lavender Heights, Senawang, Seremban selepas disyaki mencuri air terawat dengan melakukan penyambungan paip tidak sah.

SEREMBAN: Sebuah banglo dua tingkat yang sedang diubah suai di Taman Lavender Heights, Senawang di sini diserbu penguat kuasa Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains) selepas disyaki mencuri air terawat.

Sains dalam kenyataan memaklumkan, dalam operasi bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang dijalankan semalam itu, penghuni banglo itu telah didapati melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip mudah lentur bersaiz 16 milimeter (mm) tanpa melalui sebarang meter. 

“Bekalan air dipercayai untuk kegunaan pengubahsuaian premis tersebut. Pegawai penguat kuasa SAINS turut menjalankan ujian klorin di kedua-dua lokasi dan terbukti bekalan air yang digunakan adalah air terawat milik Sains.

“Pihak SPAN telah menyita semua pepasangan dan punca sambungan yang dibuat sebagai bahan bukti. Kes disiasat di bawah Seksyen 89(9) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006. 

“Sekiranya disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda sebanyak RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Terdahulu, operasi serbuan turut dilakukan terhadap sebuah premis pembuatan perabot di Bandar Seremban Selatan di sini.

“Siasatan tapak mendapati penghuni premis melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip mudah lentur bersaiz 16mm tanpa melalui sebarang meter untuk kegunaan perniagaan premis tersebut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006. Sekiranya disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda sebanyak RM100,000.00 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN