KUALA SELANGOR: Kerajaan disaran menyalurkan peruntukan lebih besar bagi semua peringkat dalam sektor pendidikan menerusi pembentangan Bajet 2023 yang dijadual pada 7 Oktober ini.
Ini kerana, agenda pendidikan perlu diperkasa dan diberi tumpuan khusus bermula peringkat sekolah rendah hingga ke institusi pengajian tinggi (IPT).
Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof. Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor berkata, beliau sendiri diberi tugasan oleh Canselor UiTM, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk melihat sendiri peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam memberi tumpuan terhadap sektor pendidikan.
“Seri Paduka bertanyakan perkara itu kepada saya sewaktu Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-94, baru-baru ini.
“Peratusan pendidikan sebenarnya tidak tinggi iaitu hanya empat peratus daripada KDNK manakala peringkat pengajian tinggi iaitu 0.9 peratus dan ia sangat rendah,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Penutup dan Makan Malam Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Mahasiswi Kebangsaan di UiTM Puncak Alam, baru-baru ini.
Konvensyen selama dua hari yang disertai 34 IPT di seluruh negara itu dirasmikan Naib Canselor Universiti Teknikal Melaka (UTeM), Prof. Dr. Massila Kamalrudin yang mewakili Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Jelas Roziah, Malaysia perlu mencontohi beberapa negara maju seperti Korea Selatan dan Singapura yang bukan saja menumpukan konteks kajian penyelidikan di peringkat universiti malah meningkatkan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Keupayaan belia dalam bidang TVET amat penting bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi. Sebagai contoh, Jerman dan Finland turut berbelanja lebih untuk membeli peralatan dan perkakasan untuk peningkatan dalam bidang itu,” jelasnya.
Tambah beliau, pembentukan sesebuah negara maju memerlukan perbelanjaan tinggi dan fokus dalam sektor pendidikan negara secara berterusan.
“Jika mahu membentuk negara 30 tahun akan datang, kita perlu berbelanja daripada sekarang dan pastinya melibatkan pelaburan dalam bidang pendidikan,” jelasnya. – UTUSAN










