Bajet 2023: Peruntukan besar sektor pertanian, agro makanan

Bajet 2023: Peruntukan besar sektor pertanian, agro makanan

DR. AHMAD Samsuri Mokhtar (tiga dari kanan) menyampaikan hadiah kepada salah sebuah PPK cemerlang pada Mesyuarat Agung PPN Terengganu Ke-48 di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Kerajaan negeri Terengganu memberi jaminan akan memberi peruntukan lebih besar dalam sektor pertanian dan agro makanan yang akan diumumkan dalam Bajet 2023 beberapa bulan lagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, peruntukan yang besar itu disediakan bagi memastikan Pelan Strategik Pertanian Negeri Terengganu 2019-2023 dapat direalisasikan supaya bekalan makanan negeri sentiasa mencukupi dengan mengurangkan kebergantungan kepada hasil dan lambakan daripada produk import.

“Saya ingin menyebut pada hari ini bahawa untuk sektor pertanian, agro makanan dan seangkatan dengannya ini, insya-Allah dalam Bajet 2023 yang sedang kita siapkan sekarang, masih tekan kalkulator lagi ni, tapi saya berikan jaminan dan komitmen bahawa peruntukan untuk tahun 2023 akan lebih besar daripada tahun ini.

“Ini adalah untuk mengambil tanggungjawab sama-sama memperkasakan industri perladangan, penternakan, perikanan dan sektor agro makanan di negeri Terengganu yang perlukan satu reformasi yang drastik dengan bajet yang lebih besar,” katanya.

Beliau menyatakan demikian  ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN)  Terengganu kali ke-48 di sini hari ini.

Pada tahun ini, kerajaan Terengganu menyalurkan sebanyak RM7.43 juta bagi pembangunan sektor pertanian.

Mengulas lain, beliau juga menyeru agar lebih ramai anak muda menceburi bidang pertanian agar menjadi pelapis dan pemain dalam bidang pertanian yang terbukti berjaya melahirkan usahawan dan jutawan hasil berbakti kepada tanah. 

“Saya juga berharap PPN Terengganu dapat terus menunjukkan pencapaian yang membanggakan dengan penglibatan dalam pelbagai jenis aktiviti ekonomi yang boleh membantu ahli-ahli yang terdiri daripada 15 buah Pertubuhan Peladang Kawasan dan para peladang,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar PPN Terengganu, Mohamad Saipuddin Abas berkata, sebanyak 15 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dengan keahlian seramai 52,577 orang telah menunjukkan pencapaian yang membanggakan dalam pelbagai jenis aktiviti ekonomi khususnya agro makanan.

“Jualan saham terkumpul berakhir 31 Julai 2022 bagi semua PPK di PPN Terengganu adalah sebanyak RM3.826 juta manakala jumlah saham PPNT di Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) pula adalah sebanyak RM3.706 juta.

“Antara aktiviti ekonomi utama PPN Terengganu ialah mini estet kelapa sawit, projek fertigasi meja halia, pemasaran bersepadu buah tandan segar, kejenteraan ladang dan pelaburan,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN