Bajet 2023: Kebajikan komuniti Cina turut diberi tumpuan

Bajet 2023: Kebajikan komuniti Cina turut diberi tumpuan

ISMAIL Sabri Yaakob ketika hadir menyempurnakan Penutupan Pesta Kebudayaan Cina Kebangsaan Ke-37 Tahun 2022, di Seremban, malam tadi. - UTUSAN/MOHD SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Bajet 2023 yang dibentangkan bulan depan mengambil kira kesejahteraan dan kebajikan rakyat secara menyeluruh termasuk usaha memperkasa masyarakat Cina di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu bertujuan memastikan semua ahli Keluarga Malaysia dapat menikmati manfaat daripada pencapaian pembangunan negara tanpa kompromi terhadap hak generasi akan datang.

“Kerajaan juga memberi jaminan untuk terus menumpukan kepada usaha memperkasa masyarakat Cina, baik di kawasan bandar mahupun luar bandar dalam pembentangan Bajet 2023 pada awal bulan depan.

“Antara tumpuan utama negara adalah untuk kembali pulih selepas pasca pandemik Covid-19 dan ini termasuk mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan meningkatkan pendapatan rakyat serta memastikan kelangsungan sektor perniagaan,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Penutup Pesta Kebudayaan Cina Kebangsaan Ke-37 Tahun 2022 di Dewan Serbaguna Sekolah Tinggi Chung Hua di sini, malam tadi.

Yang  hadir sama Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Presiden Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong), Tan Sri Dr. Goh Tian Chuan.

Menurut Ismail Sabri, kerajaan memberi tumpuan kepada persekitaran hidup yang selamat dan selesa dengan menekankan pembangunan yang inklusif serta selari dengan komitmen Malaysia terhadap Agenda Pembangunan Mampan 2030.

Dalam pada itu, beliau berkata, konsep Keluarga Malaysia yang  diperkenal selari dengan matlamat untuk membina perpaduan yang utuh serta mewujudkan keharmonian dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum.

“Kerencaman identiti dan budaya yang ada dalam kalangan kita sewajarnya merapatkan hubungan antara kaum supaya kita boleh mempelajari falsafah setiap budaya yang berbeza ini.

“Impian saya adalah untuk mewujudkan sebuah negara yang aman, harmoni dan hidup sebagai sebuah keluarga,” katanya.

Beliau berkata, konsep tersebut disebarkan ke seluruh negeri melalui Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia serta pelbagai program yang diadakan di peringkat kementerian serta jabatan, malah ia turut disambut oleh pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti setempat.

“Natijahnya, saya melihat insiden-insiden provokasi perkauman dan agama semakin reda. Kestabilan politik, keharmonian kaum dan agama sangat penting dalam negara majmuk seperti Malaysia untuk menggerakkan ekonomi negara melangkah ke hadapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN