ALOR SETAR: Pas menyifatkan lafaz sumpah dan baiah pimpinan utamanya dan calon-calon pilihan raya adalah lebih hebat dan berkesan berbanding undang-undang lompat parti yang baru diperkenalkan.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perkara berkenaan ditegaskan di dalam Perlembagaan parti itu sehingga mengatasi segala undang-undang demi memelihara integriti ahli-ahli Pas.
Katanya, Pas sepatutnya diberi lebih kepercayaan kerana memiliki ikatan baiah yang lebih hebat daripada undang-undang kini yang sudah luput tarikhnya.
“Sesiapa yang tidak memelihara integriti pasti akan melompat sendiri kerana mereka kepanasan walaupun berada dalam bilik berhawa dingin atau dipecat dengan tindakan disiplin.
“Parti tidak rosak, terus maju dan subur berkembang, sentiasa menambahkan ahli, kawasan, cawangan dan penyokong,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah, hari ini.
Sementara itu, menurut beliau, Pas juga membuktikan pelaksanaan yang berkesan berhubung amalan integriti tinggi itu dapat dilihat di negeri-negeri yang diperintah mereka iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah selain beberapa kementerian yang diterajui walaupun dengan bidang kuasa yang terbatas.
Perkara ini, tegasnya, berjaya dilakukan kerana berpegang kepada kaedah ditetapkan oleh para ulama.
Abdul Hadi turut menyatakan ketiga-tiga negeri yang telah dikuasai Pas itu adalah ‘Negeri Pengkalan’ yang wajib dipertahan dan dilaksanakan agenda Islam mengikut bidang kuasa negeri.
“Kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang telah dimenangi di beberapa negeri juga perlu diberikan perhatian terutama untuk menarik sokongan rakyat seramai mungkin.
“Ia mesti dilakukan dengan apa jua cara melalui kefahaman dan kesedaran termasuk khidmat masyarakat dan kegiatan sosial,” katanya. – UTUSAN