Ambil langkah mitigasi awal elak air Tasik Kenyir tercemar - Utusan Malaysia

Ambil langkah mitigasi awal elak air Tasik Kenyir tercemar

AKTIVITI pembalakan mengakibatkan air keruh dan berkeladak di kawasan Air Terjun Sungai Lasir, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Data kajian kualiti air keseluruhan lembangan Tasik Kenyir yang dilakukan Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mendapati kawasan itu perlu diberi perhatian serius pihak berkuasa untuk mengelakkan pencemaran.

Pengarahnya, Prof. Dr. Hafizan Juahir berkata, sebarang kecuaian dalam mengambil langkah mitigasi awal adalah berisiko untuk kualiti air di tasik itu bertukar ke dalam kategori air separa tercemar iaitu Kelas III.

Menurutnya, sistem di tasik itu tidak akan berupaya melakukan penyahcemaran kendiri sekiranya jumlah peratusan air bersih sama banyak atau kurang daripada peratusan air tercemar.

Katanya, buat masa ini, indeks kualiti air di Air Terjun Sungai Lasir, Tasik Kenyir masih lagi berada pada tahap bersih iaitu Kelas IIB dengan bacaan 76.5-85 dan masih sesuai untuk aktiviti rekreasi yang melibatkan sentuhan badan manusia.

“Ini kerana jumlah isipadu air bersih masih sangat banyak di tasik itu yang berada di tahap Kelas I dan II.

“Situasi ini membolehkan tasik tersebut berupaya melakukan penyahpencemaran kendiri (proses pencairan kepekatan pencemar yang masuk ke dalam tasik secara semulajadi) dan sistem tasik terus dapat mengekalkan tahap kebersihan kualiti airnya.

“Bagaimanapun, kita khuatir jika sudah bertukar kategori Kelas III, sistem tasik ini tidak lagi berupaya melakukan penyahcemaran kendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Rabu lalu, Utusan Malaysia melaporkan keindahan Air Terjun Sungai Lasir di Tasik Kenyir, lokasi tarikan pelancong di Terengganu, ‘merosot’ apabila airnya keruh dan berkeladak dipercayai akibat aktiviti pembalakan.

Jika perkara itu tidak ditangani, Tasik Kenyir akan hilang ‘serinya’, seterusnya hilang tarikan sebagai kawasan pelancongan.

Keadaan tersebut membimbangkan pengusaha bot dan penduduk kerana jika dibiarkan berterusan, ia akan menjejaskan industri pelancongan di Tasik Kenyir.

Hafizan berkata, isu air keruh dan berkeladak di air terjun itu bukanlah sesuatu yang memeranjatkan atau cerita baharu, lebih-lebih lagi ia berlaku di waktu musim hujan yang lebat dan kerap seperti sekarang ini.

Beliau berkata, dalam musim hujan, air larian yang laju akibat kecerunan yang tinggi di kawasan bukit akan menghakis permukaan tanah dan membawa bersama apa sahaja benda yang terdapat di atasnya termasuk segala daun kering mahupun serpihan kayu mati atau sisa daripada aktiviti pembalakan.

Tambahnya, walaupun dimaklumkan aktiviti pembalakan yang sedang berlaku sekarang ini berada lebih kurang empat kilometer dari hulu Sungai Lasir, ia tetap memberi impak negatif jika tiada langkah mitigasi mapan dijalankan.

“Kesan dalam jangka panjang pula, Sungai Lasir akan menjadi bertambah cetek dan tidak akan dapat lagi menampung jumlah isipadu air yang banyak.

“Justeru, walaupun hujan tidak lebat, tetapi oleh kerana isipadu air yang dapat ditampung hanyalah sedikit maka kadar kelajuan arus sungai akan semakin bertambah dan kesannya, pencemaran yang lebih dahsyat akan berlaku yang akan mencemari air Tasik Kenyir.

“Jika keadaan ini berterusan, ia menjadi ancaman kepada produk pelancongan alam semulajadi yang akan mengurangkan lagi kedatangan pelancong ke Tasik Kenyir seterusnya ia akan memberi kesan jangka panjang ke atas ekonomi komuniti setempat,” katanya.

Sehubungan itu beliau menyarankan agar aktiviti pembalakan di kawasan Tasik kenyir dihentikan atau disediakan pelaksanaan kaedah mitigasi yang mapan untuk situasi menang-menang kepada semua pihak.

“Isu pembalakan dan pencemaran air bukanlah perkara baru di Malaysia khususnya di Tasik Kenyir. Jadi tidak perlulah kita mengejar keuntungan sementara tetapi kita terpaksa menanggung kesan yang berpanjangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.