PETALING JAYA: Akta alam sekitar di negara ini ketinggalan zaman memandangkan penggubalan dibuat selepas pasca kemerdekaan sekali gus menyebabkan isu pencerobohan hutan gagal ditangani dengan sebaiknya.
Antara undang-undang tersebut ialah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Akta Perhutanan Negara 1984, Akta Penerbangan Awam 1969 dan Kanun Tanah Negara 1965.
Misalnya kesalahan pencerobohan tanah rizab kerajaan, tindakan penguatkuasaan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 hanya memperuntukkan denda sebanyak RM500,000 dan penjara selama lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, akta-akta berkaitan alam sekitar perlu dipinda bukan sahaja kerana tidak seiring dengan perkembangan semasa malah hukumannya tidak setimpal dengan perbuatan dilakukan.
Beliau menjelaskan, kelompangan itu menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan untuk menceroboh hutan sehingga menjejaskan ekosistem alam sekitar seperti mana berlaku sejak kebelakangan ini.
“Misalnya ada syarikat besar terlibat dalam pencerobohan hutan sedangkan hukuman denda di bawah undang-undang masih rendah dan mereka mampu bayar denda ini. Jadi kadar hukuman ini perlu dipertingkatkan supaya dapat memberi pengajaran kepada seluruh masyarakat.
“Kebanyakkan undang-undang ini digubal pada sekitar era 1960 an dan 1970 an serta dibuat mengikut situasi tersebut, tidak memperincikan lebih lanjut tafsiran pencerobohan dan pencemaran, namun sebaliknya keadaan kini sudah berubah,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri untuk mengkaji dan meneliti undang-undang sedia ada termasuk 147 undang-undang yang sudah lapuk, sama ada dipinda atau dimansuhkan.
Malah beliau sebelum ini mahu Kementerian Alam Sekitar dan Air agar segera membentangkan perkembangan terkini penggubalan akta berkaitan alam sekitar untuk dikemukakan dalam mesyuarat Kabinet.
Ketika ditanya aspek penambahbaikan undang-undang itu, Wan Junaidi menjelaskan, perkara tersebut perlulah membabitkan penguatkuasaan undang-undang dan tafsiran definisi pencemaran serta pencerobohan oleh pelaku terlibat.
Katanya, pelaku terlibat hendaklah membayar ganti rugi terhadap kerosakan berlaku supaya mereka lebih bertanggungjawab dan tidak mengulanginya pada masa depan.
“Seperti saya sebut sebentar tadi, ada hukuman perlu ditambah agar dapat memberikan pengajaran kepada pelaku bukan setakat denda sahaja. Kalau bayar denda, selepas buat semula maka tidak selesai masalah.
“Malah perlu dijelaskan dalam akta berkaitan tentang jarak kawasan pertanian atau pembangunan dengan sumber air seperti sungai dan tasik supaya merosakkan alam sekitar,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata, beliau sewaktu menjadi Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar pernah mengemukakan cadangan pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang bertujuan membendung masalah pencemaran alam sekitar di negara ini dengan lebih berkesan.
Beliau menegaskan pihak berkuasa tidak boleh membiarkan perkara yang mencemarkan alam sekitar ini walaupun tidak sengaja dibuat oleh pihak tertentu.
“Namun saya percaya perkara ini sedang diperhalusi oleh kementerian berkaitan walaupun saya tidak berada di bawah kementerian terlibat kerana perkara ini sudah lama dibangkitkan sejak sekian lama,” katanya. – UTUSAN










