Ada jabatan kerajaan gagal carum Perkeso RM32 juta

Ada jabatan kerajaan gagal carum Perkeso RM32 juta

ADNAN MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebuah jabatan kerajaan didakwa belum menjelaskan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kakitangan kontrak dengan jumlah tunggakan caruman sebanyak RM32,151,063.80 bagi tahun 2013 sehingga 2020.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat berkata, tunggakan dalam tempoh berkenaan perlu disegerakan bagi mengelakkan kakitangan terlibat berisiko tidak menerima perlindungan keselamatan sosial khas di bawah Skim Keilatan kerana tidak memenuhi syarat caruman yang dikehendaki di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Katanya, sebagai majikan adalah menjadi kewajipan untuk memastikan setiap kakitangan kontrak dan sementara membuat caruman kepada Perkeso bagi membolehkan mereka menikmati perlindungan yang sewajarnya.

“CUEPACS menggesa semua jabatan serta agensi kerajaan persekutuan dan negeri termasuk badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan yang mempunyai kakitangan bertaraf kontrak dan sementara untuk mendaftar serta membayar caruman kepada Perkeso mulai tarikh kuat kuasa iaitu 1 Jun 2013 sekiranya belum berbuat demikian.

“Untuk makluman, kerajaan melalui Perkeso di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 telah meluaskan liputan perlindungan terhadap pekerja bertaraf kontrak dan sementara yang telah dikuatkuasakan terhadap semua Jabatan serta Agensi Kerajaan mulai 1 Jun 2013 melalui Pemberitahuan Keselamatan Sosial Pekerja P.U (B) 239 dan 240,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Adnan menjelaskan, peluasan keselamatan sosial di bawah Skim Bencana Pekerjaan (SBK) dan Skim Keliatan (SK) bertujuan memberi perlindungan yang lebih baik kepada pekerja di sektor awam dan setara dengan pekerja sektor swasta di samping mengekalkan keharmonian dan kerjasama di antara kerajaan, majikan dan pekerja.

Tegasnya, kegagalan mematuhi arahan itu adalah suatu kesalahan yang boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 94, Akta 4 serta Peraturan-peraturan (AM) Keselamatan Sosial Pekerja 1971 yang boleh membawa hukuman penjara selama dua tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-dua sekali.

“Adalah amat dikesali sekiranya hak sebagai pekerja walaupun berstatus kontrak atau sementara untuk mendapatkan perlindungan tersebut terhalang disebabkan kegagalan majikan masing-masing melakukan caruman kepada Perkeso. Justeru, kami berharap kerajaan tegas dalam hal-hal yang melibatkan keselamatan dan kebajikab pekerja walaupu berstatus kontrak atau sementara,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN