PETALING JAYA: Sebanyak 7,916 pemeriksaan dijalankan KPDNHEP dalam tempoh tiga tahun sehingga 26 Jun lalu terhadap premis-premis emas bagi memastikan tidak berlaku isu penyelewengan emas di pasaran.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah KDNHEP, Azman Adam berkata, jumlah itu melibatkan sebanyak 2,293 premis pada 2020, 3,654 (2021) dan 1,969 premis sejak Januari hingga 26 Jun lalu.
Katanya, pemeriksaan itu dijalankan bagi memastikan premis-premis emas menjual emas yang tulen serta di bawah standard ketulenan ditetapkan.
“Daripada pemeriksaan dilakukan, sebanyak 25 kes diambil tindakan dalam tempoh tersebut iaitu 12 kes (2020), tujuh (2021) dan enam kes pada tahun ini.
“Kita sentiasa melakukan pemeriksaan serta operasi bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menipu pengguna,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Azman berkata, ini bagi memastikan premis mematuhi Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Artikel-Artikel Yang Dibuat Daripada Logam Berharga) 1994 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.
Jelas beliau, antara kesalahan yang dikesan adalah pelanggaran berhubung perihal dagangan palsu yang menunjukkan standard ketulenan artkel-artikel yang dibuat daripada logam berharga dan berkaitan resit.
“Resit yang dikeluarkan kepada pembeli perlu mengandungi nama, alamat pembekal, harga dan berat logam, harga dan berat artikel, kos pembuatan dan bahagian-bahagian artikel yang
dibuat daripada suatu logam berharga yang berlainan standard ketulenannya.
“Syarikat atau individu yang gagal mematuhi mana-mana peruntukan di bawah Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Artikel-Artikel Yang Dibuat Daripada Logam Berharga) 1994 boleh dikenakan denda tidak melebihi RM25,000 bagi pertubuhan perbadanan manakala bagi individu didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-keduanya sekali,” ujarnya.
Utusan Malaysia melaporkan, mereka yang membeli emas untuk melabur dinasihatkan menyemak status ketulenannya agar tidak menanggung rugi apabila ingin menjualnya kelak ini kerana tiada agensi khas yang mengawal selia dan boleh mengesahkan isi padu sebenar emas bar atau keping itu.
Sumber dilaporkan berkata, syarikat itu dakwa 916 berat satu gram walhal ada yang letak benda asing dan isi padu sebenar hanya 0.90 gram sahaja.
Jelasnya, adakah sijil pengesahan ketulenan berkenaan dibuat oleh agensi yang bebas dan berkompetensi dari segi peralatan dan kemahiran serta tiada unsur-unsur berkepentingan.
“Bagaimana peranan semak dan imbang dapat dilakukan jika sijil pembelian emas berkenaan dikeluarkan oleh syarikat yang sama.
“Masyarakat beli emas untuk pelaburan jangka panjang lebih-lebih lagi ketika susah terutamanya kini zaman inflasi. Namun, mereka mungkin terpaksa menanggung kerugian apabila ingin menjualnya kelak,” katanya. – UTUSAN










