3 sahabat didakwa tipu ahli perniagaan RM192,000

3 sahabat didakwa tipu ahli perniagaan RM192,000

TAN TECK LOKE (kiri), S. Sellathurai (dua kiri) dan Shah Effendy Wahyu didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas tuduhan menipu RM192,000 daripada seorang ahli perniagaan pada 2019.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tiga sekawan  didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan memperdaya seorang mangsa sehingga kerugian RM192,000  pada Ogos 2019.

Bagaimanapun, tertuduh, Tan Teck Loke, 41, Shah Effendy Wahyu, 40, dan S. Sellathurai, 59, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Mohd. Zulhilmi Ibrahim.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka secara bersama-sama  menipu Lim Zhen Peng, 31, dengan memperdaya mangsa untuk mengurus 32 visa dan permit kerja warga asing Jabatan Imigresen dengan bayaran sebanyak RM192,000 sedangkan perkara tersebut tidak dilaksanakan.

Mangsa diperdaya untuk membuat pembayaran wang berkenaan secara berperingkat-peringkat ke dalam akaun peribadi Public Bank milik Teck Loke antara 7 hingga 27 Ogos 2019 diJalan Nakhoda 16, Taman Ungku Tun Aminah, Skudai.

Tiga sahabat itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen  sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Dalam rayuan, tiga peguam yang mewakili ketiga-tiga tertuduh secara berasingan memohon mahkamah memberikan jaminan minimum kerana masih mempunyai tanggungan isteri dan anak.

Mahkamah menetapkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Oktober ini untuk sebutan semula kes dan bagi penyerahan dokumen berkaitan. Kes pendakwaaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala setiap tertuduh diwakili seorang peguam masing-masing,  iaitu Goh Sze Han; Mohamad Azrulsani Othman dan S. Selvam. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.