2,000 petak parkir berhampiran lokasi sambutan Hari Malaysia 

2,000 petak parkir berhampiran lokasi sambutan Hari Malaysia 

JALAN Parameswara menuju ke Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Bandar Hilir, Melaka telah diletakkan besi penghadang oleh pihak berwajib sempena sambutan Hari Malaysia. - FOTO/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri menyediakan 2,000 petak parkir berhampiran lokasi sambutan Hari Malaysia di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Bandar Hilir di sini esok.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, lokasi parkir berkenaan antaranya di Dataran Pahlawan, Menara Taming Sari, Plaza Mahkota dan Pahlawan Walk.

Beliau berkata, seramai 336 pegawai dan anggota polis akan bertugas bagi mempertingkatkan kawalan keselamatan termasuk aliran trafik sepanjang berlangsungnya sambutan berkenaan.

“Saya harap tiada isu parkir ditempat yang tidak sepatutnya dan pengguna tidak melanggar undang-undang jalan raya.

“Bagi yang meletakkan kenderaan di Pulau Melaka, Panaroma Melaka akan menyediakan bas shuttle ke lokasi program bermula pukul 5 petang hingga pukul 1 pagi.

“Pengangkutan ini disediakan bagi memudahkan pengunjung ke tapak sambutan, sekali gus mengurangkan kesesakan trafik yang mungkin berlaku sebelum dan selepas program berlangsung,” katanya dalam sidang akhbar khas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini, semalam.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, sebanyak tiga laluan di Banda Hilir akan ditutup sempena sambutan Hari Malaysia Jumaat ini.

Laluan terlibat adalah Jalan Taman, Jalan Kota dan Jalan Parameswara bermula pukul 6.00 petang hingga 12.00 tengah malam pada hari sambutan tersebut.

Dalam pada itu, tambah Christopher, kawalan keselamatan tidak hanya melibatkan kawasan tumpuan, malah di kawasan sekitar program berlangsung.

“Saya jangkakan ramai akan datang pada hari tersebut dan kawalan keselamatan juga meliputi lokasi program dan kawasan sekitar. 

“Keselamatan daerah Melaka Tengah berada dalam keadaan terkawal dan pihak polis sentiasa bersiap siaga dan pada masa sama memperketatkan kawalan dari semasa ke semasa,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN