11 lagi warga Malaysia mangsa penipuan di Kemboja pulang ke tanah air - Utusan Malaysia

11 lagi warga Malaysia mangsa penipuan di Kemboja pulang ke tanah air

SAIFUDDIN Abdullah menyantuni sebahagian warga Malaysia yang menjadi mangsa skim penipuan di depoh tahanan imigresen Kemboja minggu lalu. - WISMA PUTRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas penghantaran pulang 24 mangsa sindiket skim penipuan pekerjaan di Kemboja pada minggu lalu, 11 orang lagi selamat kembali ke tanah air.

Menurut kenyataan Wisma Putra, kumpulan berkenaan tiba di KLIA2, Sepang dekat sini dengan menaiki pesawat AirAsia penerbangan AK535 yang mendarat pukul 11.55 malam tadi.

Pada 9 September lalu, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengiringi kepulangan 24 individu tersebut dari Phnom Penh setelah sehari sebelum itu berada di negara berkenaan.

Wisma Putra menambah, setakat ini seramai 123 orang daripada 153 mangsa terbabit berjaya diselamatkan dan segera dibawa pulang secara berperingkat.

“Pihak kementerian merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan Kemboja atas kerjasama baik dalam misi mengesan serta menyelamatkan mangsa,” katanya.

Utusan Malaysia difahamkan, berita kepulangan kumpulan 11 orang itu perlu dirahsiakan dan tiba hampir tengah malam bagi mengelak mangsa tersebut diganggu pihak tidak berkenaan.

Menurut prosedur operasi standard yang ditetapkan, mereka dilarang mengeluarkan sebarang kenyataan kerana dibimbangi boleh menjejaskan siasatan perisikan oleh pihak polis.

Wisma Putra memberi jaminan pihaknya melalui Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh sentiasa komited dan bekerjasama rapat dengan Kemboja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya