Polis rampas 109,700 liter diesel subsidi diseleweng - Utusan Malaysia

Polis rampas 109,700 liter diesel subsidi diseleweng

ARJUNAIDI Mohamed (depan) meninjau tong-tong mengandungi diesel bersubsidi yang diseleweng selepas bahan tersebut dirampas polis di sebuah gudang dekat Jalan Klang - Banting, Sungai Jenjarom, di Kuala Langat, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Polis menggempur sebuah gudang dijadikan tempat kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi sejak dua tahun lalu dan merampas 109,700 liter bahan api kenderaan berat itu di Jalan Klang – Banting, Sungai Jenjarom, semalam.

Kegiatan jenayah itu dikesan menerusi risikan polis sebelum menyerbu gudang terbabit pada pukul 9 pagi dan merampas diesel termasuk barangan lain dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM1.57 juta.

Turut ditahan menerusi operasi dilakukan cawangan risik Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 adalah tujuh suspek lelaki termasuk empat warga asing berusia 22 tahun hingga 37 tahun.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, risikan selama sebulan itu mendapati modus operandi sindiket adalah membeli minyak diesel dari stesen minyak di sekitar Kuala Langat dengan menggunakan lori atau kenderaan pacuan empat roda yang diubah suai.

“Apabila tong yang diubah suai penuh, semua minyak dieseldipindahkan ke dalam tangki simpanan ‘Skid Tank dan intermediate bulk containers (IBC) Tank’ di gudang sebelum dijual semula kepada pengusaha industri. 

“Ini bermakna, pihak industri  membeli minyak diesel bersubsidi ini dengan harga yang lebih murah daripada harga industri tanpa subsidi yang agak mahal,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Tambahnya, aktiviti sindiket itu dipercayai beroperasi sejak dua tahun lalu. 

Dalam pada itu, Arjunadi berkata, sindiket terbabit menjual diesel subsidi tersebut kepada sektor perkapalan pada harga RM8 seliter dan industri perkilangan dan pembinaan sebanyak RM3.70 seliter.

Ekoran tindakan tersebut, kerugian ditanggung akibat daripada aktiviti penyelewengan itu mencecah RM249,400.

“Berdasarkan serbuan itu, antara dirampas termasuk 21 buah lori, 67 tangki  IBC, dua jentera forklift dan 28 unit pam penyedut minyak diesel. Semua suspek yang ditangkap pula berperanan sebagai pemandu lori dan pekerja am,” jelasnya. 

Katanya, ketujuh-tujuh suspek ditahan reman enam hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya