IPOH: Seorang kerani wanita kerugian RM27,200 selepas simpanannya di dalam bank lesap dalam tempoh kurang 24 jam melalui enam transaksi pemindahan wang kepada individu tidak dikenali pada 13 Julai lalu.
Chang See Teng, 26, berkata, dia hanya menyedari kejadian itu pada keesokan hari ketika mahu membuat pengeluaran wang menerusi mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
Katanya, dia yang mendapati akaun simpanannya itu telah disekat segera menghubungi pihak bank dan terkejut selepas dimaklumkan terdapat enam pengeluaran wang tanpa pengetahuannya.
“Saya terkejut apabila tahu baki wang dalam simpanan hanya berjumlah RM40. Semua wang simpanan saya lesap tanpa saya tahu siapa penerimanya.
“Saya hairan kerana tidak pernah menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada bank bagi memaklumkan nombor pengesahan transaksi (OTP),” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Penyelaras MCA Parlimen Ipoh Barat di sini hari ini.
Menurutnya, transaksi yang dilakukan itu berjumlah antara RM3,000 hingga RM5,000 sedangkan had pengeluaran dan pindahan wang harian yang ditetapkan sebanyak RM5,000.
Katanya, dia kesal apabila wang simpanannya bagi tujuan perubatan itu hilang sekelip mata dan pihak bank juga sehingga kini masih belum memberi penjelasan bagaimana kehilangan wang itu boleh berlaku.
“Saya tidak pernah membeli apa-apa barang secara dalam talian atau melayari mana-mana laman web melibatkan transaksi wang.
“Kejadian ini menyebabkan saya takut dan hilang kepercayaan untuk menyimpan wang di dalam bank lagi. Sekarang, saya hanya bergantung kepada keluarga bagi menampung belanja rawatan penyakit saya,” katanya yang bakal berkahwin bulan hadapan.
Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Perak, Low Guo Nan berkata, kes melibatkan kehilangan wang daripada akaun bank semakin membimbangkan.
Menurutnya, hampir setiap minggu aduan sama diterima melibatkan kehilangan wang dalam jumlah yang besar.
“Bukan semua kes berlaku disebabkan kecuaian kerana kebanyakan kes yang kita terima, mangsa tidak menggunakan aplikasi sebarangan atau kerap melakukan transaksi.
“Kes sebegini kerap berlaku hingga menimbulkan persoalan di manakah tempat yang selamat dan lebih terjamin untuk menyimpan wang,” katanya. – UTUSAN