UMNO yakin menang dua daripada tiga kerusi DUN di Alor Setar

UMNO yakin menang dua daripada tiga kerusi DUN di Parlimen Alor Setar

UMNO
MOHD. Yusof Ismail (empat dari kiri) bersama pimpinan BN Parlimen Alor Setar pada majlis pelancaran Jentera BN PRU15 Peringkat Parlimen Alor Setar di Taman Budiman, Alor Setar. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: UMNO Bahagian Alor Setar yakin dapat kembali merampas dua daripada tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terletak di bawah Parlimen Alor Setar dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail berkata, dua kerusi tersebut adalah Suka Menanti dan Alor Mengkudu yang kini diwakili Datuk Zamri Yusuf (PKR) serta Ketua Pembangkang DUN Kedah, Datuk Ir. Phahrolrazi Mohd. Zawawi yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah.

“Kita akan menang di DUN Suka Menanti dan Alor Mengkudu. Daripada apa yang kita lakukan termasuk program-program dilaksanakan di Alor Mengkudu dan Suka Menanti, di dua DUN itu kita pasti menang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Keadaan semasa menampakkan sokongan dan pengundi kita pada PRU-13 akan kembali. Kita kira dah dan kali ini mereka tidak akan lagi tertipu dengan Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam sidang akhbar pada majlis pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) PRU15 Peringkat Parlimen Alor Setar di Taman Budiman di sini.

Satu lagi kerusi DUN di Parlimen itu adalah Kota Darulaman yang kini disandang wakil DAP, Teh Swee Leong.

Mohd. Yusof sekali lagi menegaskan betapa kerusi Parlimen Alor Setar perlu ditandingi UMNO berbanding MCA, dalam usaha untuk mengembalikan kemenangan kepada BN di situ.

Menurutnya, MCA perlu melihat gerak kerja dilakukan UMNO di kawasan tersebut sejak 2018 termasuk ketika menerima lebih 40,000 permohonan mendapatkan bantuan sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

“Kalau tengok PRU13 dan PRU14, mereka yang mengundi calon MCA adalah orang UMNO. MCA tak dapat pengundi selain daripada UMNO. Dan kali ini suara akar umbi menyatakan yang mereka mahukan calon UMNO bertanding di sini. Saya yakin pucuk pimpinan BN memiliki kumpulan untuk menjalankan kajian dan mereka dijemput datang ke Alor Setar bagi mencari satu titik tengah untuk memastikan Parlimen ini menjadi milik BN,” katanya.

Beliau turut mengingatkan MCA betapa muafakat yang dibina antara kedua-duanya telah wujud sejak sekian lama dengan masing-masing saling memperjuangkan kemenangan buat BN.

“Kalau kita menang di Alor Setar, itu bermakna kita dah mendapatkan satu kerusi untuk BN tetapi kalau MCA bertanding dan tak mampu menang, maknanya BN akan hilang satu kerusi Parlimen,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×