UMNO berduka, tetapi tenang - Ahmad - Utusan Malaysia

UMNO berduka, tetapi tenang – Ahmad

AHMAD Maslan mengaminkan doa ketika menghadiri Program Ziarah Kasih di Kampung Parit Mokhayat, Ayer Baloi, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: “UMNO berduka, tetapi tenang”.

Itu jawapan ringkas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika ditanya mengenai situasi UMNO selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kekal disabitkan dengan hukuman penjara dan denda oleh Mahkamah Persekutuan, Selasa lalu.

Walau bagaimanapun menurutnya, UMNO tidak akan mengajak ahli-ahlinya untuk berdemonstrasi di jalanan seperti yang dilakukan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

Katanya, taklimat khas Presiden UMNO yang akan diadakan petang esok adalah bagi memberikan peluang kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk menjelaskan isu-isu terkini parti.

“Terserah kepada beliau (Ahmad  Zahid) menjelaskan apa juga perkara kepada jemputan dengan tema pakaian adalah baju merah,” katanya ketika ditemui selepas Program Ziarah Kasih di Kampung Parit Mokhayat, Ayer Baloi di sini hari ini.

Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM240 juta ke atas Najib yang juga bekas Presiden UMNO dalam kes penyelewengan dana RM41 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian meminta mereka yang telah diundang ke taklimat khas itu dapat hadir bagi mendengar sendiri perkara-perkara penting yang akan disampaikan oleh Presiden UMNO nanti.

“Tidak menolak kemungkinan, tentunya salah satunya mengenai hukuman penjara 12 tahun yang dikenakan ke atas Datuk Seri Najib pada Selasa lalu,” jelasnya.

Ditanya apakah UMNO bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tanpa Najib, Ahmad secara seloroh memberitahu bahawa bekas Perdana Menteri itu masih ada (hidup), beliau hanya di dalam penjara.

“Seperti tajuk berita sebuah akhbar hari ini, kita berduka. Kalau kawan kita dikenakan tidak sebegitu rupa, dalam media sosial penuh dengan segala kenyataan merujuk kepada kes berkaitan. Mengenai kempen PRU15, kita akan berkempen dengan cara kita, kita banyak lagi kaedah berkempen untuk memenangi hati pengundi yang tidak perlu saya huraikan di sini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN