Tun Mohd. Ali ziarah mangsa ribut Tanjung Bidara

Tun Mohd. Ali ziarah mangsa ribut Tanjung Bidara

MOHD. ALI Mohd. Rustam (kiri) bertanyakan sesuatu kepada mangsa ribut ketika menziarahi empat kampung terlibat di Tanjung Bidara, Masjid Tanah, Melaka. - FOTO/AMRAN MULUP 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam hadir menziarahi mangsa ribut di empat buah kampung di Tanjung Bidara, Masjid Tanah di sini, hari ini.

Beliau yang menaiki kenderaan pacuan empat roda dipandu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dibawa melawat rumah yang terjejas teruk khususnya di Kampung Pasir Gembur.

Turut disampaikan bantuan berjumlah RM3,000 kepada tiga daripada lima pemilik rumah yang paling teruk mengalami kerosakan hingga tidak boleh didiami lagi.

Mohd. Ali turut meluangkan masa meninjau asrama Sekolah Menengah Arab (SMA) (JAIM) Al-Ehya El-Karim yang turut terjejas akibat kejadian tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pasir Gembur, Mohamad Azmi Sabtu berkata, semua kos membaiki bumbung yang rosak dibiayai sepenuhnya oleh Ab. Rauf.

“Kerja-kerja memasang semula bumbung 70 buah rumah yang terbabit dalam kejadian Rabu lalu telah bermula semalam dan berterusan dalam tempoh seminggu ini.

“Barangan makanan dan keperluan lain turut diberikan kepada semua mangsa yang terlibat dan memastikan kebajikan mereka tidak diabaikan,” katanya ketika ditemui pemberita. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN