Tuduhan Hadi kerajaan PH 'mi segera' salah

Tuduhan Hadi kerajaan PH ‘mi segera’ salah

RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH RAJA AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Tuduhan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang kononnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah seperti ‘mi segera’ yang tidak masak’ dan bercelaru hingga terpaksa dijatuhkan oleh Perikatan Nasional (PN) dua tahun yang lalu adalah satu gambaran negatif yang salah.

Sebaliknya, Pengerusi PH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, dalam tempoh 22 bulan pemerintahan PH, banyak perubahan yang positif telah dilakukan di negara ini mengikut tuntutan Islam dan tuntutan agama-agama lain.

Menurutnya, pada tahun pertama pemerintahan, PH sanggup  mengetepikan fahaman politik demi nasib rakyat Terengganu dan Kelantan untuk mengembalikan bayaran wang royalti hasil minyak serta gas kepada kedua-dua negeri tersebut walaupun berada di bawah pentadbiran parti pembangkang iaitu Pas.

“Sebagai Pengerusi PH Terengganu, saya sendiri telah bersetuju agar kerajaan PH memulangkan kembali bayaran royalti kepada Terengganu dan Kelantan.

“Wang itu telah ditarik balik oleh pimpinan Barisan Nasional (BN) apabila Pas memerintah Terengganu pada tahun 1999.

“Malangnya pada tahun 2021, setelah PN yang dianggotai Pas merampas kerajaan, Kementerian Kewangan telah membatalkan semula pembayaran wang royalti tersebut tanpa sebarang bantahan oleh Pas,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara kebaikan lain yang dilakukan PH ialah mengurangkan cabutan judi kepada lapan kali sahaja dalam tempoh setahun.

“Walaupun kehilangan hasil pendapatan yang banyak, demi kebaikan masyarakat serta kesan negatif judi, kerajaan PH tekad meneruskan langkah pengurangan tersebut.

“Malangnya apabila kerajaan PN yang di anggotai Pas mengambil alih kerajaan, cabutan undi telah dinaikkan semula kepada 22 kali setahun tanpa apa-apa bantahan daripada parti Islam itu. 

“Mengapa menteri Pas tidak membantah semasa mesyuarat kabinet sedangkan ketika Pas menjadi pembangkang, Pas yang menuntut pengharaman judi kerana memporak-perandakan keluarga dan bertentangan dengan ajaran Islam, adakah kerusi kedudukan peribadi sebagai menteri mereka lebih penting?.

“Kini Pas lantang membantah konsert tetapi judi yang begitu luas kesan negatif kepada seluruh keluarga telah ‘diliberalkan’ dengan penambahan aktiviti cabutan judi dari lapan kali pada zaman PH kepada 22 kali pada pemerintahan PN,” katanya.

Tambahnya lagi, dalam masa 22 bulan juga, PH telah menyusun semula dan menyelamatkan Tabung Haji demi umat Islam dan hasilnya, PH telah menerima pujian dari Ketua Audit Negara atas tindakan tersebut.

“Berikutan keadaan kewangan yang sihat, TH telah berjaya membeli hartanah bernilai RM1.8 bilion di London pada Mei lalu,” ujarnya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN