Tubuh institusi kewangan Islam ASEAN – Sultan Nazrin

Tubuh institusi kewangan Islam ASEAN – Sultan Nazrin

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam majlis Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur 2022 (KLIFF) ke-17, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemain industri harus mempertimbang usaha menubuhkan institusi kewangan Islam ASEAN untuk menyokong pengembangan sek­tor itu secara global.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, institusi yang dicadangkan itu bertujuan memudahkan kemasukan pelaburan asing untuk membiayai infrastruktur dan projek seumpamanya.

Titah baginda, peranan institusi berkenaan sangat diperlukan untuk membantu me­rangsang perdagangan dan meningkatkan pekerjaan memandangkan jumlah populasi besar di ASEAN.

“Ekonomi global terus berkembang, kita telah melihat pertumbuhan berterusan dan pengembaran pasaran pengguna, pembentukan rangkaian perdagangan yang meluas serta pewujudan persekitaran yang semakin mesra perniagaan di rantau ini.

“Sektor kewangan Islam boleh mengambil bahagian serta menggalakkan pertumbuhan selanjutnya di seluruh ASEAN melalui peranannya dalam merangsang pelaburan dengan tumpuan kepada penciptaan nilai sosial,” titah baginda dalam Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur 2022 (KLIFF) ke-17 di sini, hari ini.

Titah Sultan Nazrin, pe­ngembangan kewangan Islam global yang berterusan telah berlaku meskipun dalam persekitaran yang mencabar sejak sedekad lalu atau lebih, disebabkan krisis kewangan global dan pandemik Co­vid-19.

“Ini menunjukkan daya tahan kewangan Islam sebagai sistem kewangan yang stabil, sesuatu yang harus memberi inspirasi kepada orang lain untuk terlibat dalam sektor itu,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya