JERAI: Walaupun setahun tragedi kepala air Gunung Jerai di Yan, penduduk di daerah ini mengakui masih hidup dalam trauma terutama ketika hujan berlarutan selama beberapa jam.
Tinjauan Utusan Malaysia ke kawasan itu semalam mendapati, rata-rata penduduk memberitahu, kehidupan mereka sudah berubah kerana sentiasa bimbang kejadian yang sama akan berulang.
Menurut Rosli Mohamad, 52, dari Jalan Masjid di sini, walaupun sudah setahun berlalu, namun, kejadian yang disifatkan menggerunkan itu tetap segar dalam ingatan.
“Sekarang, kalau hujan berlarutan selama beberapa jam tak henti, memang kami sudah siap sedia. Semua barang-barang dinaikkan ke tempat tinggi. Tahun lepas, kejadian kepala air itu mengakibatkan semua barang di rumah ini rosak habis.

“Banjir kilat bawa lumpur itu tenggelamkan rumah kawasan hampir semeter. Tetapi, ketakutan itu masih ada bila hujan rasa seram sahaja dan memang tak senang duduk. Trauma dan fobia sentiasa ada,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.
Dalam kejadian kepala air Gunung Jerai dan banjir kilat pada 18 Ogos tahun lalu, ratusan rumah penduduk rosak selain mengorbankan enam nyawa.
Katanya, di sebalik trauma, penduduk di kawasan itu berusaha untuk menjalani kehidupan mereka setelah pasca kepala air itu sebaik mungkin apatah ia terjadi pada bulan kemerdekaan.
“Kami cuba hidup macam biasa, kami cuba melupakan tragedi itu sebab itu saya dan isteri, Sukeina Abu Bakar, 53, ambil keputusan untuk hias rumah kami dengan Jalur Gemilang juga untuk ceriakan kawasan ini.
“Bulan kemerdekaan ini harapan kami cuma satu agar ‘merdeka’ jugalah trauma kami akibat tragedi kepala air itu,” katanya yang menggunakan lebih 100 Jalur Gemilang untuk menghiasi pekarangan rumahnya.
Dalam pada itu, Mohd. Tarmizi Md. Shab, 57, yang juga seorang penjawat awam berkata, tragedi kepala air itu walaupun tidak menggembirakan tetapi, disifatkan sangat bersejarah kepada penduduk di daerah ini.
“Tidak pernah terjadi lagi kejadian yang dahsyat seperti itu, jadi bukan sesuatu yang menghairankan jika semua trauma. Malah jika tengok langit mendung pun rasa ‘semacam’.
“Kami perlu bersedia untuk berpindah, itu yang diingatkan. Dokumen penting semua kami sudah simpan satu tempat. Harta benda lain, jika berlaku lagi, kami reda. Kami semua berharap dan berdoa tiada lagi kejadian seperti itu sampai mengorbankan nyawa,” katanya. – UTUSAN










