KUALA KANGSAR: Seorang ustaz dan tiga warden sebuah pusat pemulihan dadah di Padang Rengas berhadapan hukuman mati di tali gantung apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh penghuni pusat itu, Rabu lalu.
Nasri Wafi Jamaludin, 25; Noor Ashraf Ikhmal Jaafar, 22; Ahmad Anat Fairuz Anak, 27; dan Muhammad Luqmanulhakim Abdul Aziz, 20, didakwa membunuh Muhamad Shahrul Samion, 25.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Pusat Pemulihan Darul Islah, Padang Asam dekat Padang Rengas pada pukul 12.30 tengah hari sehingga 7.45 malam, 17 Ogos 2022.
Keempat-empat tertuduh mengangguk dan mengaku faham pertuduhan selepas dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Shazmeer Zamhari.
Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syuhada Muhammad Lutfi manakala keempat-empat tertuduh diwakili peguam Tan Chak Seng.
Mahkamah menetapkan 12 Oktober depan untuk sebutan semula sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat mangsa.
Menerusi laporan media Jumaat lalu, seorang penghuni sebuah pusat pemulihan dadah ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam bilik tetamu dengan kaki dan tangannya diikat kain.
Hasil bedah siasat terhadap mayat dengan kesan lebam dan luka di badan itu mendapati punca kematian mangsa akibat kecederaan parah pada bahagian dada serta otot-otot dan tisu badan disebabkan trauma tumpul.
Susulan kematian lelaki itu, empat lelaki membabitkan seorang ustaz dan tiga warden pusat pemulihan itu ditahan untuk siasatan lanjut. – UTUSAN