Tiga sekeluarga mengaku tidak bersalah dera kanak-kanak - Utusan Malaysia

Tiga sekeluarga mengaku tidak bersalah dera kanak-kanak

TIGA sekeluarga dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Pilah bagi didakwa atas pertuduhan mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun pada bulan lalu. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Tiga sekeluarga termasuk seorang bakal penuntut universiti awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah di sini atas pertuduhan mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, bulan lalu.

Tertuduh, R. Guna Silan, 42; K. Nagamah, 41, dan G. Nisha, 21, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Norma Ismail.

Berdasarkan pertuduhan bersama, kesemua tertuduh pada 15 hingga 19 Julai lalu, kira-kira pukul 12 tengah hari, bertempat di Taman Seri Mahsan, Bandar Seri Jempol sebagai penjaga telah mendera menggunakan rotan, memukul, menendang dan menyimbah air panas terhadap kanak-kanak berkenaan.

Tindakan tersebut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di seluruh badan iaitu di bahagian dada, belakang badan, kedua-dua belah tangan, kedua-dua belah kaki, kepala dan muka.

Oleh yang demikian, ketiga-tiga tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan kesemuanya boleh denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh diwakili peguam, Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris.

Muhammad Amirul memohon mahkamah tidak memberikan sebarang jaminan kepada tertuduh namun, sekiranya mahkamah membenarkannya, perlu dikenakan syarat tambahan seperti melaporkan diri di balai polis.

Haresh dalam hujahan pembelaannya menyatakan tertuduh pertama tidak mempunyai sebarang pekerjaan tetap manakala tertuduh kedua hanyalah seorang suri rumah dan tertuduh ketiga ada menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke universiti pada September ini.

Menurut Haresh, kesemuanya telah menyerah diri dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis selain tidak mempunyai pasport antarabangsa.

Norma kemudiannya membenarkan jaminan kepada semua tertuduh iaitu sebanyak RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 23 Ogos ini.

Media pada 29 Julai lalu melaporkan polis mencari tiga individu yang mempunyai hubungan persaudaraan bagi siasatan kes dera membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di Mahsan, Bandar Seri Jempol.

Keesokan harinya, kesemua tertuduh telah ditahan selepas menyerah diri di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol pada pukul 11.30 pagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya