PETALING JAYA: “Tidak wajar tuding kegagalan perolehan LCS (kapal tempur pesisir) kepada saya.”
Demikian penegasan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung kegagalan projek berkenaan kerana mendakwa, beliau bukan Menteri Pertahanan ketika projek itu diberikan.
Katanya, beliau memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan bermula April 2009 hingga Mei 2013.
Di sebalik penafian itu, beliau berkata, pemegang saham terbesar bagi projek tersebut adalah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
“Merujuk laporan audit dari PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara), kontrak kepada Boustead adalah mengikut Garis Panduan Permohonan Perolehan Secara Rundingan Terus bertarikh 17 April 2002.
“Secara jelas ia tiada kaitan dengan saya, malah LTAT sendiri menjadi pemegang saham terbesar dalam syarikat pembinaan LCS itu,” katanya seperti dilaporkan UMNO Online.
Beliau berkata, mereka yang terlibat dalam kegagalan perolehan LCS perlu menjelaskan kepada PAC.
Ahmad Zahid juga bersedia memberi keterangan kepada PAC bagi melengkapkan prosiding itu dalam masa terdekat.
“Jadi mana-mana pihak yang menyebabkan kelewatan pembinaannya haruslah bertanggungjawab memberikan penjelasan kepada PAC. Ia bagi menyokong penuh pendedahan kelewatan ini,” katanya.
Sebelum ini, PAC mendedahkan, tiada satu pun LCS Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) disiapkan meskipun kerajaan telah membayar RM6.083 bilion untuk projek itu menerusi kontrak kepada syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS). secara rundingan terus.
Setakat Ogos 2022 menurut jadual asal, sepatutnya lima buah kapal LCS harus disiap dan diserahkan kepada RLDM. – UTUSAN